Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
JDT tak perlu Piala Malaysia sebagai bukti
Diterbitkan:  Oct 30, 2017 1:40 PM
Dikemaskini: 5:47 AM

LIGA SUPER | Kelab JDT berkata pasukan itu tidak perlu memenangi Piala Malaysia untuk membuktikan diri mereka sebagai raja bola sepak Malaysia.

Dalam kenyataan terbuka hari ini Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, berkata dengan pencapaian yang dilakar kelab itu JDT dikenali ramai di luar negara.

"Jadi, kami tidak perlu membuktikan siapa raja bola sepak tanah air kerana negara-negara dan pihak-pihak luar tahu siapa raja bola sepak tanah air sebenar," katanya.

JDT yang dimiliki Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Idris sekali lagi dinobatkan sebagai juara Liga Super Malaysia selepas berakhir musim tahun ini.

Dengan memenangi 15 daripada 22 perlawanan dan empat kali seri JDT memperoleh 49 mata, meninggalkan pencabar terdekat - Pahang - dengan kelebihan sembilan mata.

Tempat ketiga dikuasai pasukan Felda United.

Pasukan digelar Harimau Selatan itu akan bertemu Kedah dalam perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-91 pada 4 November ini di Shah Alam.

Lakar sejarah antarabangsa

Untuk rekod Kedah ialah juara bertahan Piala Malaysia selepas mereka mengalahkan Selangor 6-5 melalui penentuan penalti apabila mereka terikat 1-1 sehingga tamat waktu perlawanan.

Pada Julai 2016 Tunku Ismail berkata Piala Malaysia tidak menjadi keutamaan JDT kerana apa yang ditumpukan ialah kedudukan dalam liga dan memenangi Piala FA.

Kejayaan itu akan membuka laluan kepada JDT untuk bersaing di peringkat antarabangsa melalui kejohanan AFC.

Untuk Piala FA edisi tahun ini trofi kejuaraan dijulang Kedah yang menundukkan Pahang 3-2 pada 20 Mei lalu.

Pada 26 Okt lalu Presiden JDT Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim (gambar) sudah menyatakan mereka mencapai sasaran musim ini iaitu memenangi Liga Super.

Justeru katanya jika memenangi Piala Malaysia hujung minggu nanti ia hanyalah bonus dan bukan keutamaan buat mereka.

Edwards berkata JDT sudah memenangi lapan piala dalam tempoh empat setengah tahun.

Pada masa sama kata bekas pemain Johor, Selangor dan Sarawak itu JDT mencipta satu demi satu sejarah.

"Kami menjadi kelab pertama dalam negara yang bukan saja memenangi liga untuk tiga tahun berturut-turut tetapi empat tahun berturut-turut.

"Kami juga melakar sejarah di persada antarabangsa apabila menjadi kelab pertama dalam negara melepasi peringkat separuh akhir Piala AFC, sekaligus memenangi Piala AFC.

"Kami juga bermain sebanyak tiga kali berturut-turut di peringkat kelayakan kejohanan ACL dan tiada kelab lain dalam negara yang mampu melakukannya," kata Edwards.

Menurut bekas pemain profesional kelahiran Australia itu lagi JDT juga menerima lebih banyak pengiktirafan serta penghargaan dari negara luar berbanding Malaysia berdasarkan kejayaan yang dilakar mereka di dalam atau luar padang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS