Khalid Ali tak hadap jawatan jurulatih kebangsaan
Disalah faham - itu kesimpulan yang boleh diambil daripada pandangan diberikan bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali, mengenai keadaan semasa bola sepak negara.
Kata Khalid apabila dia memberi pendapat, ia adalah untuk meningkatkan prestasi bola sepak Malaysia dan bukannya mahu menjatuhkan maruah sesiapa.
Menurut Khalid pandangan itu sebaliknya dilihat secara sinis sehingga dia disindir seolah-olah berharap dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaysia.
"Saya tak layan orang macam ini. Bagi saya mereka ini sangat kecil dan ibarat kekurangan oksigen," katanya seperti disiarkan mStar Online.
Pada November lalu Khalid dilaporkan memberi cadangan supaya ketua jurulatih Harimau Malaya ketika itu, Nelo Vingada, melepaskan jawatan ekoran prestasi skuad kebangsaan yang tidak memuaskan.
Kata Khalid kegagalan Vingada bukan saja sekali sebaliknya tujuh kali dan itu menunjukkan jurulatih dari Portugal itu gagal menjalankan tugas dengan baik.
Vingada, 64, mengumumkan peletakan jawatannya pada 6 Dis lalu, dan semalam FAM pula mengumumkan Tan Cheng Hoe sebagai penggati.

Sejak mengemudi Harimau Malaya Vingada gagal mencatatkan sebarang kemenangan, sebaliknya tewas lima kali dan dua kali seri.
Kata Khalid dia tidak berniat mahu dilantik sebagai jurulatih Harimau Malaya.
"Saya tak hadap pun jawatan tersebut, buang masa saja," katanya.
Tumpu akar umbi
Menurut Khalid beliau bercakap berdasarkan pengalaman serta sedar pada kemampuan dirinya.
"Saya tahu tahap permainan saya. Saya pernah bermain dengan beberapa pasukan hebat hingga saya boleh duduk di Brazil selama dua bulan, kemudian ke Australia sebelum dipanggil berlatih bersama Hamburg FC. Cuma saya tak pergi ke Jerman kerana dihalang keluarga," katanya.
Pada masa sama Khalid berkata dia masih menaruh harapan kepada FAM kerana tahu presidennya Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempunyai kemampuan mengubah keadaan.
Katanya Tunku Ismail mempunyai misi, personaliti, kuasa dan wang.
"Tak dinafikan ada sedikit perubahan dalam pengurusan baru tapi mereka perlu beri tumpuan pada program pembangunan di peringkat akar umbi," katanya.
Menurut Khalid usaha membentuk pasukan kebangsaan yang mantap memerlukan masa yang lama, malah mungkin sehingga 10 tahun.
Itu pun, katanya, belum tentu mampu memberi kesan yang maksimum.
"Sepuluh tahun baru (boleh) nak ketuk pintu Korea, tapi dijemput masuk (atau tidak), kita tak tahu lagi," katanya.
Justeru langkah awal yang perlu diambil sekarang, kata Khalid, ialah memberi tumpuan kepada program akar umbi.

