Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Kalau ikut selera bos F1 gadis litar patut ada
Diterbitkan:  Feb 14, 2018 7:23 PM
Dikemaskini: 11:38 AM

Baru-baru ini tersiar laporan bahawa tiada lagi gadis litar akan menghiasi sebarang perlumbaan kereta Formula 1 (F1) apabila ia dianggap bercanggah dengan norma semasa masyarakat.

Ekoran pengumuman itu ada juga pihak yang kecewa.

Antara lain mereka berpendapat gadis litar adalah satu daripada unsur yang membuat sesuatu perlumbaan F1 menjadi panas.

Namun hari ini salah seorang pegawai tertinggi F1 memberitahu, perlumbaan yang mereka kendalikan tetap akan menampilkan gadis jelita.

Malah Ketua Pegawai Eksekutif  dan Pengerusi Eksekutif Formula One Group, Chase Carey, memberi jaminan di bawah pentadbirannya sukan pemotoran itu akan kekal menjadi satu daripada dunia yang penuh "glamor dan mistik".

Dalam satu temu bual dengan beberapa akhbar terpilih, Carey (gambar, atas) mengakui secara peribadi dia akan mengekalkan amalan lazim perlumbaan F1 mengikut apa yang disukainya.

Namun dia juga mengakui pandangan pihak lain yang terbabit secara langsung dalam industri berkenaan - termasuk peminat - tetap diambil kira.

"Saya fikir cadangan untuk mengetepikan kemunculan gadis litar itu memang kami jangka.

"Ada sesetengah pihak bersikap positif mengenai pendekatan itu dan pihak lain pula menunjukkan keprihatinan.

"Dan tidak mengejutkan juga ada ramai peminat jangka panjang melihat amalan itu sebagai sebahagian daripada F1 dan saya menghormati mereka," katanya.

Tak mengikut zaman

Menurut Carey jika ditanya pandangannya, secara peribadi dia memang mahu gadis litar dikekalkan seperti sebelum ini.

Cuma katanya keputusan untuk mengekalkan atau mengetepikan gadis litar yang selalu menjadi perhatian penonton itu bukan terletak pada tangannya saja.

"Ia keputusan untuk peminat, dan saya fikir kami mendapati sejumlah orang membangkitkan isu berkenaan.

"Saya mendapati ada sekumpulan orang yang agak ramai menganggap - entahlah, saya tidak tahu sama ada perkataan menghina sesuai digunakan atau tidak - tapi ia dilihat mengeksploitasi, atau tidak selaras dengan dunia yang kita diami sekarang," katanya.


Baca: Gambar Schumacher uzur RM5.5 juta


Carey juga mengakui kumpulan yang mahu kemunculan gadis litar dimansuhkan lebih ramai berbanding pihak yang mahu ia dikekalkan.

Sementara itu Carey yang menjadi ketua eksekutif F1 bagi menggantikan Bernie Ecclestone pada tahun lalu, berkata jelitawan yang menjadi gadis litar itu sendiri ramai yang berbangga dengan tugas yang diberikan.

"Sebab itu sekali lagi saya katakan - kalau ditanya pandangan saya - saya memang suka gadis litar ada," katanya.

Lihat Komen
ADS