Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

Di saat pasukan bola sepak negara dijadual bertemu Singapura malam ini, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil menyeru semua pihak untuk kekal menyokong skuad Harimau Malaya.

Syed Saddiq berkata beliau maklum akan keresahan penyokong tegar Ultras Malaya yang ingin memboikot Piala Airmarine 2019 di Stadium Bukit Jalil kerana merasakan harga tiket yang mahal.

"saya faham keresahan yang telah pun disampaikan Ultras Malaya.

"(Tetapi) Bagi saya sebagai menteri belia dan sukan, tetap perlu beri sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya," katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Beliau turut membangkitkan rayuan kapten pasukan Zaquan Adha Abd Radzak agar semua penyokong membanjiri stadium malam ini.

"Dia merayu agar rakyat beri sokongan. Jadi ketepikan soal persatuan bila pemain sendiri telah merayu.

"Ini kerana yang paling mustahak adalah pemain sendiri," katanya lagi.

Semalam ciapan akaun Twitter rasmi Ultras Malaya berkata telah sebulat suara untuk memboikot perlawanan itu.

Katanya, Harimau Malaya telah dieksploitasi "para kapitalis" dan mereka tidak akan "memberi walau satu sen" kepada mereka.

Syed Saddiq berkata pandangan Ultras Malaya tidak boleh diketepikan begitu sahaja dan berharap ia dapat diselesaikan dengan baik.

"Dan kalau ada mana-mana pihak Ultras Malaya ingin berjumpa, pintu KBS sentiasa terbuka. Kita akan cuba cari jalan penyelesaian," katanya lagi.

Terdahulu, Ultras Malaya mendakwa harga tiket RM35 yang dikenakan penganjur melebihi harga bagi perlawanan persahabatan biasa iaitu RM20.

Lihat Komen
ADS