Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
‘Perlu desakan lebih kuat selesai isu atlet tanpa kerakyatan’

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berpendapat perlunya desakan lebih kuat agar isu atlet tanpa kerakyatan yang tidak dapat mewakili negara kerana isu dokumen dapat menemui titik penyelesaian.

Ini susulan laporan Malaysiakini semalam tentang atlet E-Sukan Muhammad Aiman Hafizi Ahmad yang tidak dapat mewakili negara ke kejohanan antarabangsa kerana ketiadaan kad pengenalan (IC) dan oleh itu, tidak dapat memohon pasport Malaysia.

"Butiran telah pun saya dapat. Sebelum ini saya pernah bangkitkan isu yang sama juga, permohonan pun telah dihantar, tapi sampai sekarang belum ada keputusan yang memuaskan.

"Saya rasa perlu ada desakan yang lebih kuat.

"Tak adil kalau kita boleh berikan kewarganegaraan kepada satu industri walhal mungkin individu tersebut tak lama menetap di Malaysia, tetapi bagi atlet dalam industri lain tak boleh mendapat kelayakan sama," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Konvensyen Reben Kuning dan pelancaran tahun kedua Projek Reben Kuning di Spacerubix, Puchong.

Aiman, dari Perak, dilaporkan layak ke kejohanan Liga E-Sukan Asia Tenggara di China tetapi perlu mengosongkan slotnya kerana tiada kad pengenalan justeru tidak boleh memohon pasport.

Aiman diserahkan dan dibesarkan oleh ibu bapa angkat setelah ibu kandungnya yang merupakan warganegara Indonesia menghilangkan diri selepas dia dilahirkan.

Permohonan Aiman menjadi warganegara Malaysia telah ditolak sekali, dan dimaklumkan permohonan keduanya pula tidak lengkap.

Peluang Aiman akan menjadi semakin rumit selepas menyambut ulang tahun ke-20nya Ogos tahun ini, memandangkan Jabatan Pendaftaran Negara tidak membenarkan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A jika pemohon berusia 20 tahun.

Perkara 15A perlembagaan menetapkan bahawa kerajaan persekutuan boleh mendaftarkan mana-mana orang di bawah umur 21 tahun sebagai warganegara Malaysia dalam "keadaan khas" yang difikirkannya patut.

Kemelut yang dihadapi Aiman mendapat perhatian Syed Saddiq semalam setelah dibangkitkan aktivis hak kanak-kanak, Dr Hartini Zainuddin di Twitter, dan beliau menyatakan akan "membantu apa yang boleh".

Baru-baru ini, pemain bola sepak warga Kosovo, Liridon Krasniqi, yang kini bermain untuk pasukan JDT, sah menjadi warganegara Malaysia apabila menerima MyKadnya pada 3 Februari lalu.

Untuk rekod, Syed Saddiq pernah memberi jaminan akan cuba membantu Aiman berhubung isu sama pada 30 Ogos 2019, namun berlanjutan hingga hari ini.

Mengulas hal itu, kata Syed Saddiq, beliau berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan kementerian, agensi dan NGO berkaitan agar satu proses yang "diperkemas" (streamlined) dapat digariskan agar kes seumpama itu tidak lagi berlaku.

"Minggu lepas saya ada perjumpaan, kes melibatkan bola keranjang, dan sebelum itu kes melibatkan perahu naga. Ada beberapa kes terpencil dalam kumpulan (sukan) berbeza.

"Kita nak pastikan kita ada proses diseragamkan supaya mereka ini (atlet) mendapat pengiktirafan sewajarnya, khususnya mereka mewakili negara di persada dunia," katanya.

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq tadi turut merasmikan pelancaran tahun kedua Projek Reben Kuning, yang merupakan projek bagi membantu memberi peluang kedua buat belia berisiko, merangkumi bekas tahanan, bekas banduan, orang diselia (ODS) dan pelatih Sekolah Henry Gurney.

Projek yang dilancarkan tahun pada 2018 itu setakat ini telah memberi manfaat kepada 24, 234 penyertaan.

Itu termasuklah 92 tahanan Sekolah Henry Gurney, 40 banduan wanita dari Penjara Kajang, 90 ODS, 530 belia bekas tahanan melalui kluster kemahiran, sukan, keusahawanan dan kebolehpasaran, serta 23,482 pelajar sekolah berisiko menerusi kluster kempen kesedaran.

Lihat Komen
ADS