MAIS: Titah larangan guna kalimah Allah selaras kuasa Sultan S'gor

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mempunyai kuasa untuk bertitah mengenai larangan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam selaras dengan kuasa baginda dan peruntukan undang-undang sedia ada, kata Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
    
Pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dalam kenyataan semalam  berkata pihaknya kesal kerana ada pihak yang masih mempertikaikan kedudukan Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959.
    
"Oleh itu, MAIS menegaskan sekali lagi bahawa titah Sultan Selangor berhubung larangan penggunaan kalimah Allah adalah dibuat selaras dengan kuasa baginda dan mengikut peruntukan dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang masih berkuat kuasa sejak ia diwartakan pada 7 Julai 1988.
    
"Di Selangor, Seksyen 9, enakmen berkenaan yang diwujudkan selaras dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, secara jelas melarang kalimah Allah daripada digunakan oleh orang bukan Islam dalam apa-apa perkara yang berkaitan dengan agama mereka," katanya.

Mohamad Adzib turut kesal dengan tindakan sebuah firma guaman yang mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung perkara berkenaan.

Katanya, MAIS menerima surat daripada sebuah firma guaman bertarikh 10 Januari lalu berhubung beberapa aspek mengenai larangan penggunaan kalimah Allah  orang bukan Islam seperti yang dititah Sultan Selangor.
    
Kandungan surat tersebut antara lain menyifatkan kenyataan MAIS tersebut sebagai bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan memo dalaman daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri bertarikh 8 April 2011, katanya.
    
"Apa yang ingin ditegaskan di sini ialah isu di dalam kes tersebut hanya tertumpu kepada isu penggunaan kalimah Allah dalam 'Herald - The Chatholic Weekly'  walaupun keputusan mahkamah telah dikeluarkan namun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan Peguam Negara untuk menggantung pelaksanaan dan prosiding seterusnya.
    
"Kami menegaskan sekali lagi titah Sultan Selangor berhubung larangan penggunaan kalimah Allah dibuat selaras dengan kuasa baginda dan baginda  pada bila-bila masa boleh mengeluarkan titah berhubung isu-isu berkaitan agama Islam di Selangor," katanya.
    
Beliau berkata fatwa berhubung larangan penggunaan kalimah Allah itu juga diwartakan di Negeri Selangor pada 18 Februari 2010 dan tuduhan serta hukuman boleh dijatuhkan bagi mereka yang melanggar peruntukan berkenaan.
    
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng baru-baru ini dilaporkan membangkitkan semula isu kalimah Allah melalui laman blognya dengan menggesa kerajaan pusat membenarkan penganut Kristian di Semenanjung menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.
    
Berikutan gesaan itu, Sultan Selangor melalui Setiausaha MAIS,  Datuk Mohd Misri Idris mengeluarkan kenyataan Selasa lepas dan menitahkan dengan tegas bahawa kalimah Allah merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan di negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam lain sebagaimana yang diwartakan.
    
- Bernama

 
 
 
 
 
|
 

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.