Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jelas. Semakin jelas pada pagi 10 Mei 2018 - Pakatan Harapan akan menubuhkan sebuah kerajaan baru menggantikan kerajaan Najib-Rosmah dan konco-konconya dalam Barisan Nasional.

Penyokong Pakatan Harapan wajib bersedia. Berani berjuang. Berani menang. HARAPAN menang PRU14 kecuali ditipu. Ini bukan labun. Ini fakta yang semakin jelas. Bukti kemenangan semakin menonjol.

Penipuan telah lama dirancang. Secara rasmi dan secara tidak rasmi. Apabila penipuan berlaku ini tanda HARAPAN akan menang. Lebih banyak penipuan lebih jelas kemenangan HARAPAN.

Penipuan yang paling afdal ialah persempadan semula. Ini didakwa dilakukan dengan tujuan untuk mengurangkan pengundi di kawasan yang telah dimenangi oleh HARAPAN.

Kemudian lambakkan pengundi ke kawasan yang mustahil dimenangi oleh Najib.

Contoh terbaik, ambil pengundi Kampung Pasir Lembah Pantai, taburkan ke kawasan Seputeh. Kumpulkan ribuan Cina dalam satu kawasan yang majoriti penduduk Cina. Ini kerana pengundi Cina ini mustahil akan ada rasa cinta kasih sayang berahi dengan Najib atau Rosmah.

Tambahkan pengundi Cina ke kawasan Cina. Kurangkan pengundi bukan Melayu di kawasan Parti Keadilan Rakyat. Khalas.

Penipuan kedua ialah penambahan pengundi awal. Mengikut BERSIH hampir, 400,000 pengundi awal telah diwujudkan khas untuk PRU14.

Bidan, bomoh, misi, tok mudim, bomba, polis dan seribu satu macam mak nenek menjadi pengundi awal. Jika ini bukan satu penipuan apa lagi namanya.

Penipuan ketiga ialah pengundi pos. Mengikut kata Mahathir Muhamad, pengerusi HARAPAN dan bakal perdana menteri kerajaan baru, ada hampir satu juta - satu juta - pengundi pos.

Kalau dulu memang tepat dan logik pilihan raya menggunakan pemilihan cara undi pos. Ini untuk tentera kita yang sedang bertugas di luar kawasan, di sempadan atau beroperasi di luar negara.

Tapi undi pos kali ini bukan untuk yang bertugas di luar kem. Malah memangkah undi dilakukan di dalam kem.

Ada banyak laporan dari ramai veteran - bekas tentera - bukan diri mereka yang memangkah tapi dilakukan oleh tok sarjan atas arahan. Ada yang bertugas sebagai tentera selama 20 tahun tapi tak pernah melihat kertas undi.

Pelik tetapi benar, bini dan anak soldadu ini juga menjadi pengundi pos. Kepala hantuk apa terjadi macam ini? Jika ini bukan rancangan tersusun untuk menipu maka Donald Trump sudah jadi Lebai Trump.

Dalam persempadan semula ini banyak perkara pelik berlaku. Nama pengundi akan hilang. Nama pengundi akan bertukar tempat tanpa pengundi tahu. Para pengundi akan tercari-cari tempat baru. Semua ini adalah sebahagian dari rancangan licik SPR untuk memastikan Najib-Rosmah terus berkuasa.

Satu contoh penipuan terbaik telah diumumkan oleh Sdr Fahmi Fadizl calon Lembah Pantai. Seorang achi - pengundi Lembah Pantai - telah ditukar namanya ke Sekinchan. Walhahi, achi ini tidak pun tahu di mana Sekinchan, jauh sekali kenal dengan Jamal Ikan Tongkol.

Laporan polis telah dibuat untuk membantu achi ini. Tapi ini hanya laporan ‘ngabeh boreh’. Kalau ini bukan menipu namanya maka Hang Tuah tidak pernah menikam Hang Jebat.

Ingatkan kembali PRU13, bila dakwat kekal yang tidak kekal. Projek menipu ini juga didakwa dirancang dengan licik untuk memastikan gerombolan United Malays National Organisation terus berkuasa.

Ingatkan kembali kes Mejar Zaidi yang membuktikan dakwat kekal yang tidak kekal. Pegawai tentera udara ini ke mahkamah akhirnya. Yang didakwa menipu tidak didakwa tapi yang membuktikan kes tipu dibuang kerja. Oh, Malaysiaku. Amin.


Baca: Zaidi dipecat, enggan rayu keputusan


Dakwaan dakwat tak kekal ini sebenarnya adalah tanda-tanda awal dalam PRU13 bahawa Pakatan Rakyat ketika itu telah mencapai kemenangan. Pakatan Rakyat mendapat 52 peratus undi popular, termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Hakikatnya, saya selalu merakamkan bahawa PRU13 adalah kemenangan kali pertama HARAPAN. Tapi dalam PRU13 HARAPAN telah ditipu.

Justeru saya merakamkan di sini bahawa pada 9 Mei 2018 ini HARAPAN akan menang untuk kali kedua. Kecuali ditipu. Kecuali disabotaj.

Sabotaj? Apa ini sabotaj ? Apa ertinya sabotaj?
Kamus Dewan Bahasa memberi makna sabotaj sebagai memusnahkan harta benda musuh semasa pertelingkahan politik. Atau perbuatan menggagalkan satu satu usaha. Merosakkan aktiviti lawan.

Jeng. Jeng. Jeng. Sesudah penipuan dilakukan tetapi HARAPAN masih lagi mara ke hadapan. Ombak rakyat makin mengampuh menyokong HARAPAN. Anak semua bangsa, bangsa semua agama, telah bersiap-siaga untuk mendirikan kerajaan baru. Ceramah, jelajah makin membesar, membara dan mengampuh.

Isi ucapan Mahathir menuduh Najib mencuri duit 1MDB kini telah menjalar luas membakar kemarahan warga Felda, veteran, pegawai kerajaan, malah ahli Parti Ketuanan Melayu sendiri telah sedar siapa itu Najib-Rosmah.

Justeru sabotaj mengambil tempat.

Sabotaj ini didakwa taktik baru muncul untuk memastikan Najib-Rosmah terus berkuasa sesudah PRU14.

Taktik sabotaj ini bukan satu taktik yang baru tetapi kali ini kerana kemenangan amat jelas dalam tangan HARAPAN maka sabotaj menjadi salah satu usaha politik untuk mempertahankan kuasa Najib-Rosmah.

Sabotaj politik PRU14 di Malaysia ini menjadi berita dunia apabila pesawat jet yang akan ditumpangi oleh Mahathir Muhamad didakwa telah disabotaj.


Baca: Kapal terbang Mahathir tak disabotaj, kata lembaga penerbangan


Mahathir secara terbuka telah menerangkan bagaimana ketika dia dalam pesawat tetapi gagal bergerak kerana didapati tayar telah rosak. Mahathir yang telah beribu-ribu kali naik pesawat jet menerangkan dalam satu ceramah di Langkawi bahawa dia tidak pernah mengalami perkara seperti ini.

Justeru Mahathir yakin ini kerja ‘seseorang’. Mahathir menggunakan istilah ‘seseorang’ yang bercita-cita untuk menggagalkan perjalanan Mahathir ke Langkawi.

Taktik sabotaj pesawat jet Mahathir ini masuk akal. Selain dari jet ini disabotaj, amaran telah diberi lebih awal kepada beberapa ‘kenalan’ Mahathir agar jangan meminjamkan pesawat jet kepada Mahathir.

Ini amaran yang bukan kecil anak. Siapa memberi amaran ini si, Mahathir tidak pula memberitahu. Tetapi ayam sesama ayam pasti tahu.

Mahathir terus menerangkan bahawa tujuan sabotaj ini cukup jelas. Ini untuk menggagalkan dirinya dari sampai ke Langkawi. Sabotaj ini merancang untuk memperlambatkan kesampaian Mahathir. Bila gagal atau lambat sampai ke Langkawi, maka Mahathir akan gagal mendaftar sebagai calon PRU14. Bila Mahathir gagal maka Najib berjaya. Amin ya rabbal alamin.

Untuk saya sabotaj ini adalah tanda yang paling jelas. Ini adalah tanda yang paling terang. Sabotaj adalah tanda bahawa dalam PRU14 ini Pakatan Harapan akan menang kecuali ditipu dan disabotaj.

Para pembaca juga wajib sedar sabotaj ini bukan hanya berlaku kepada Mahathir. Lihat bagaimana calon Batu - Tian Chua - telah dinafikan haknya untuk bertanding. Jelas ini kerja sabotaj kerana saya amat yakin jika Tian Chua terus bertanding di Batu sampai kiamat pun gerombolan ketuanan Melayu tidak akan dapat memenangi undi penduduk Batu. Amin.


Baca: Tian Chua hilang kelayakan pertahan Batu


Lihat pula rancangan sabotaj untuk memastikan Mat Hasan calon kawasan Rantau menang tanpa bertanding. Calon HARAPAN Streram Sinnasamy didakwa diperlambatkan sampai. Akhirnya gagal untuk mendaftar sebagai calon.


Baca: Tidak dapat masuk pusat penamaan, SPR tunggu siasatan polis


Dari laporan terbaru, warga net telah membocorkan dakwaan bahawa pegawai SPR yang membatalkan calon HARAPAN itu adalah anggota United Malays National Organisation.

'Sabotaj' ini didakwa memastikan Mat Hasan menang tanpa bertanding. Si Mat Hasan sebagai menteri besar sementara akan bebas merayau untuk berkempen. Ini wajib dilakukan kerana dari laporan ‘intel risikan’ yang diketahui umum menunjukkan Negeri Sembilan akan jatuh ke tangan HARAPAN.

Kemudian kita membaca dan melihat kes pelik lagi memelikkan. Kes magik silap mata. Hari ini tidak muflis tapi pagi esok jadi muflis. Ya cadabra. Bagaimana ini berlaku?

Kes silap mata ini berlaku kepada Yaakob bin Osman - calon HARAPAN di Penaga Permatang Pauh.

Yaakob telah menemui pihak berwajib untuk mendapat maklumat apakah dirinya seorang muflis. Ini persediaan awal untuk menjadi calon. Jabatan Insolvensi Malaysia secara resmi mengeluarkan surat yang Yaakob Osman ini tidak bankrap.

Tapi esok sesudah mengisi borang calon tetiba diberitahu bahawa calon Penaga Yaakob bin Osman telah jatuh bankarp.

Lalu saya bertanya, sehari sebelum hari pencalonan ke mana Si Yaakob ini pergi? Adakah dia ke Genting? Atau dia ke Las Vegas atau dia ke Danok?

Macam lagu rakyat:

Keluang keluit
bertanak dalam tembikar
pulang cari duit
tengok rumah dah terbakar.

Rumah si Yaakob tidak terbakar. Tapi dia menerima surat rasmi mengatakan dia jatuh muflis. Maka pencalonan dibatalkan. Hampeh. Ini namanya sabotaj. Ini namanya penipuan.

Jangan risau. Jangan sibuk-sibuk nak buat aduan polis. Nak ambil tindakan mahkamah. Cara terbaik ialah contohi tindakan Mahathir. Mahathir tidak akan membuat laporan polis. Laporan polis ini hanyalah laporan ‘mengabeh boreh’ - sia-sia, buang masa dan wang ringgit.

Apa yang wajib dilakukan oleh penyokong HARAPAN ialah memerhati berapa banyak lagi penipuan dan sabotaj akan berlaku.

Perhatikan rapi setiap hari akan ada undang-undang baru dalam usaha untuk menyusahkan kemenangan sampai ke tangan HARAPAN. Ada saja - ini tak boleh, itu tak boleh.

Gambar si anu tak boleh. Gambar Si Ani boleh dipasang. Berceramah kena ada permit polis. Pihak majlis tempatan boleh naikkan sewa permit ceramah. Ini berlaku di Johor. Dari RM50 menjadi RM50,000 wajib bayar cengkeram kepada majlis.

Cis, semua ini adalah bukti! Semua ini adakah tanda HARAPAN akan menang PRU14. Kecuali ditipu. Kecuali disabotaj.

Tipu. Sabotaj adalah tanda kemenangan. Bagaimana kemenangan sampai? Tunggu minggu hadapan.
 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS