Paling Popular
Terkini

Khamis 10 Mei 2018, lewat jam 8 Malam di Istana Negara, Siti Hasmah memaut tangan Mahathir.

Mahathir dan Siti Hasmah bangun. Mereka telah menunggu berjam-jam untuk istiadat angkat sumpah.

Istiadat ini lambat. Ini dikatakan manifestasi projek mat songel yang ingin menggagalkan sang suami dari menjadi perdana menteri.

Atau mat songel berniat ingin memberi malu kepada Mahathir Muhamad

Hakikatnya pada malam itu pemimpin Pakatan Harapan ditemu bual satu persatu. Apa yang ingin ditemu dan apa yang ingin dibual hanya Guru Nanak sahaja yang tahu.

Lim Guan Eng bergegas menyelamatkan keadaan. Lim tegak berdiri di hadapan Mahathir meminta agar Mahathir tidak meninggalkan istana. Bersabar menunggu kerana kita telah lama menunggu, katanya.

Bukan menunggu 4 jam ini sahaja, anak semua bangsa di Malaysia telah menunggu selama 60 tahun untuk menghumbankan United Malays National Organisation.

Semenjak malam 31 Ogos 1957, anak semua bangsa telah menyusun, telah bergerak untuk menamatkan projek Inggeris yang telah menobatkan United Malaya National Organsiation dengan kuasa.

Lim Guan Eng telah berjaya menggagalkan niat Siti Hasmah untuk membawa suaminya keluar. Suasana menjadi tegang. Semua tertanya-tanya, apakah akan berjaya istiadat angkat sumpah pada malam kedua ini. Atau gagal sekali lagi.

Jam masih berjalan. Malam belum larut tapi pemimpin Pakatan Harapan telah hampir empat jam menunggu untuk mengangkat sumpah.

Tetiba masuk ketua setiausaha negara. Semua mata memerhati. Kelihatan telah ada pergerakan untuk memecah ketegangan.

“Bila Ali Hamsa muncul, rasa lega. Rasanya akan selesai,” Mat Sabu menerangkan.

Ketika menulis ini saya tidak tahu apa yang telah berlaku di belakang tabir. Dari analisis dan pengalaman, saya yakin adinda dan kekanda pasti telah berbincang sesama sendiri. Mustahil kekanda adinda tidak berbincang untuk memahami keadaan politik pasca 9 Mei 2018.

Sayugia diingati ketika Mahathir dan pemimpin Pakatan dalam istana, ribuan rakyat telah mula berkumpul di sekitar Istana Negara. Juga rakyat sedang berkumpul di sekeliling hotel di PJ. Antara dua wilayah ini jaraknya tidak berapa jauh. Orang ramai yang berada di jalan raya ini dari pengalaman saya tidak susah untuk dihasut bergerak ke mana sahaja.

Saya juga telah diberi masa hingga ke jam 10.30 untuk menunggu apakah arahan terakhir. Apa tindakan yang wajib dilakukan jika angkat sumpah gagal sekali lagi.

Sebagai rakaman sejarah saya telah menghantar mesej kepada kawan saya seorang bekas wartawan NST. Dengan jelas saya menulis: “After 10.30 if nothing happen we will go to the street”.

Dengan cepat saya mendapat jawapan: “Don’t, Najib will declare emergency. You fall into their trap.”

Ketegangan

Saya merasa ketegangan. Dalam dewan di hotel di Petaling Jaya itu, semua ternanti-nanti. Jika jalan raya sebagai harga yang wajib dibayar untuk perubahan maka inilah harga yang wajib dibayar. Ini telah tersemat dalam kepala saya.

Wajib saya tuliskan tentang sejarah sejarah Revolusi Bolshevik 1917 di Rusia. Czar dan Czarina - raja dan permaisuri - telah cuba menghalang perjalanan ombak sejarah rakyat Rusia. Akhirnya Czar Nicholas anak beranak telah ditembak mati. Ini keputusan revolusi rakyat Rusia, bukan keputusan pilihan raya.

Saya yakin ada kekanda dan adinda yang faham akan sentimen pasca 9 Mei. Pasti ada adinda yang telah membaca sejarah Revolusi Bolshevik. Atau tahu apa terjadi kepada raja dan sultan di Indonesia.

Atau terbaca apa yang terjadi kepada raj dan maharajah di India. Atau pernah bermalam di Istana Maharaja Jaipur yang kini menjadi hotel ternama dalam dunia.

Para maharaja ini dilupuskan ‘daulat’ mereka sesudah India merdeka pada tahun 1947. Maka sang raja dan sang maharaja menjadikan istana mereka sebagai hotel. Amin.

Di Tanah Melayu pasti adinda dan kakanda pernah terbaca kata-kata akhir Raja Farouk ketika sampai ke Itali sesudah dihalau oleh Gamal Abdel Naseer dari Kaherah pada 25 julai 1952.

“Akhirnya dalam dunia ini akan hanya tinggal lima raja. Raja England, Raja Kelawar, Raja Sepit, Raja Deman dan Raja Lekok.”

Kata-kata Raja Farouk ini tepat dan terbukti sahih.

Kaum feudal adalah saki baki sejarah. Kaum feudal ini adalah petanda bukti kesahihan teori evolusi manusia. Manusia berkembang dari terpencar-pencar hingga menjadi kumpulan. Dari mencari dan mengumpul makanan manusia menjadi kaum tani - bersawah dan berternak.

Dari masyarakat tani ini muncul sosok yang gagah berani. Muncul sosok yang memiliki keupayaan memimpin. Maka dari sini lahirkan pahlawan dan raja. Maka dari sini muncul sistem feudal. Dari sini muncul mukim, daerah dan negeri. Lalu dipimpin oleh sosok yang dipanggil raja atau sultan.

Ada cerita dan kisah tentang daulat, atau asal-usul keturunan nabi, atau anak tuhan, atau tugas menjaga agama, atau kebolehan menyumpah ‘orang biasa’ menjadi batu.

Pada tahun 2018 ini, tiada lagi cerita seperti ini.

Mitos ini sengaja disebarkan.

Jangan semberono menuduh Hishamuddin Rais sebagai anti-Sultan. Apa yang saya tulis ini bersandar fakta dan bahan sejarah. Sila rujuk Hikayat Abdullah. Sila baca bagaimana Pulau Temasik terjual. Bagaimana Sultan Hussein telah diperangkap oleh tokan bernama Raffles. Akhirnya Pulau Singapura terjual kepada Raffles pada 6 Februari 1819.

Rakaman sejarah Abdullah Munshi

Perkara ini telah dirakam sebagai bahan sejarah oleh Abdullah Munshi lebih seratus tahun dahulu.

Hanya kita yang gagal mengingati kembali kepada rakaman sejarah ini. Sejarah yang gagal diingati atau kita gagal belajar dari sejarah maka babak sejarah itu akan berulang.

Pada malam itu, setelah KSN masuk, aktiviti dalam istana makin lancar. Kerusi mula disusun. Pemuka-pemuka masuk. Media yang selama ini di luar kini rapat ke dalam. Upacara mengangkat sumpah akan berjalan.

Bersongkok dan berbaju Melayu hitam memperkukuhkan tradisi Melayu. Mahathir, Muhyiddin, Mat Sabu memakai baju Melayu hitam. Dr Wan Azizah juga memakai baju hitam. Lim Guan Eng berjaket hitam dan bersongkok hitam. Mufti, para jemputan, wartawan dan jurugambar juga memakai baju hitam. Yang tidak berbaju hitam hanya sang isteri dan pegawai tentera darat dan laut.

Pada malam 10 Mei 2018, Mahathir mengangkat sumpah untuk tiga perkara:

  • Surat cara pelantikan
  • Angkat sumpah jawatan dan setia.
  • Sumpah simpan rahsia.

Semua dilakukan di hadapan Agong.

Di dewan hotel di Petaling Jaya, upacara angkat sumpah ini diikuti melalui telefon bimbit. Di sana sini penyokong Pakatan dan para YB berkumpul mengikuti apa yang sedang berjalan di Istana Negara.

Mahathir sebagai bakal perdana menteri ke-7 dalam parlimen ke-14 datang ke hadapan Agong. Mahathir hanya menundukkan kepala, berjabat salam tapi tidak mencium tangan.

Perdana menteri kita menundukkan kepala sebagai tanda hormat kepada raja dan itu telah mencukupi. Ini contoh terbaik penghormatan kita sesama manusia. Kita sesama sedarjat sebagai umat manusia.

Pada Khamis malam 10 Mei 2018, semua kelihatan beres. Bila saya diberitahu semua selesai saya pun menelefon semua geng dan jaringan untuk ke hotel di Petaling Jaya. Pengurus hotel pula telah berbesar hati menghadiahkan ‘supper’ kepada kerajaan baru. Kuih-muih, teh dan kopi sampai sekali lagi ke dalam dewan.

Semua menunggu delegasi dari istana. Satu sidang akhbar akan diadakan. Dewan di hotel makin berasak-asak dengan kemasukan para wartawan yang telah berjam-jam menunggu.

Sidang akhbar Mahathir Muhamad pertama sesudah dilantik sebagai perdana menteri diadakan hampir jam 11 di hotel. Para pemimpin Pakatan Harapan duduk sebaris dengan PM yang baru.

Dalam sidang akhbar ini Mahathir menerangkan kembali apa yang telah berlaku dan secara ringkas menerangkan rangka kerajaan baru.

Jelas projek sailang Mahathir telah gagal.

Mahathir kini telah mengangkat sumpah. Esok Jumaat 11 Mei 2018, Majlis Presiden Pakatan Harapan akan bermesyuarat. Apa akan dibincang?

Jeng, jeng, jeng, jangan silap baca! Mat songel masih lagi merancang. Mat songel terus berusaha. Masih ada lagi projek mat songel. Tak percaya tunggu minggu hadapan. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS