Opinion

Siapa nak tolong Utusan?

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Amat malang mogok Utusan Melayu pada Julai 1961 gagal. Lebih tepat lagi digagalkan.

Andai ia berjaya Umno tidak menguasai Utusan. Ingin ditegaskan ini bukan mengenai Umno atau penentangan khusus terhadap parti itu.

Ini mengenai kebebasan akhbar. Kegagalan mogok Utusan membolehkan Umno mengusai akhbar Utusan Melayu. Sekali gus itu menyempitkan ruang kebebasan akhbar. Bukan saja buat Utusan tetapi media secara menyeluruh.

Ini kerana kejayaan Umno boleh dilihat sebagai memberi perangsang atau membuka laluan kepada parti parti politik lain untuk bertindak sama menguasai akhbar. Ini dirasai sehingga ke hari ini.

Contoh ketara akhbar The Star milik MCA dan Tamil Nesan pegangan MIC. 

Tamil Nesan bagaimanapun ditutup MIC 1 Februari lalu. Ada lagi akhbar yang dikuasai parti poltik tetapi cukup tiga itu yang disenaraikan sebagai contoh.

Media berkembang. Begitu juga penguasaan parti politik ke atasnya. Oleh kerana Umno , MCA, MIC antara komponen gabungan Perikatan dan kemudiannya BN dan BN pula memerintah negara untuk sekian lama (daripada merdeka hingga 2018) media dikawal kerajaan.

Umno dan MCA masih menguasai akbar milik masing-masing walau pun BN bukan lagi kerajaan setelah tumbang pada PRU14 pada 9 Mei tahun lalu.

Semua itu tidak akan berlaku jika mogok Utusan yang dilancar 58 tahun lalu berjaya.

Imbas kembali Julai 1961. Umno menghantar tokoh Umno Terengganu, Ibrahim Fikri berjumpa pengarang akhbar Utusan Melayu Said Zahari (gambar, bawah). 

Tujuannya ialah memaklumkan syarat empat perkara penyerahan diri Utusan kepada Umno.

Said atau dikenali sebagai Pak Said menolak. Bagi Pak Said dan rakan-rakan, Utusan Melayu mesti tetap hidup sebagai sebuah akhbar kebangsaan Melayu yang bebas, tidak dikuasai mana-mana parti poltik.

Mereka berpendapat hanya Utusan Melayu yang bebas mampu berkhidmat kepada seluruh bangsa Melayu, agama dan tanah air dan bukannya kepada satu kelompok orang Melayu yang menganggotai satu-satu parti.

Hanya dengan dasar bebas Utusan Melayu boleh mencerminkan fikiran rakyat membela nasib rakyat dan memperjuangkan kepentingan rakyat dengan jujur, ikhlas dan berani. Itu pendirian Pak Said dan rakan-rakan.

Umno tetap bekeras. Lalu mogok Utusan dilancar selama 100 hari sebelum digagalkan. Perlu diakui Pak Said dan rakan-rakan bukan sahaja berdepan dengan Umno tetapi juga kerajaaan persekutuan ketika itu.

Akhbar celup

Kata Pak Said dalam bukunya Meniti Lautan Gelora: ”Maka pada hari Ibrahim Fikri masuk ke pejabatku dan mengajukan syarat-syarat penyerahan diri empat perkara itu, aku tahu bahwa Utusan Melayu sebagai sebuah akhbar kebangsaan Melayu yang bebas sejak dua dasawarsa itu sudah mati. Yang masih hidup ialah Utusan Melayu celup.”

Al-Fatihah buat Pak Said Zahari dan perjuangan kebebasan kewartawanan yang telah pulang ke rahmatullah.

Walaupun “Utusan Melayu celup” yang allahyarham Said katakan itu merujuk kepada Utusan Melayu yang dikuasai Umno waktu itu, ia boleh juga digunakan untuk merujuk kepada akhbar milik Kumpulan Utusan masa kini.

Tidak dinafikan penerbitan Kumpulan Utusan khususnya Utusan Malaysia berkhidmat untuk Umno dan dilihat bertindak sebagai alat propaganda parti berkenaan.

Sekarang seperti semua maklum Kumpulan Utusan dicengkam masalah kewangan yang besar. Dikatakan masalah timbul setelah Umno hilang kuasa pada PRU14.

Namun ramai pemerhati media berpendapat masalah kewangan Utusan sudah timbul sebelum PRU lagi dan kekalahan Umno/ BN sekadar memburukkan keadaan.

Bagaimana masalah kewangan terjadi? Pelbagai sebab kedengaran. Ada yang menyalahkan ketidakkecekapan pengurusan. Ada yang menyalahkan dasar editorial yang berat sebelah – yang terlalu memihak kerajaan Umno/BN mengakibatkan pelanggan enggan melangan.

Bila itu terjadi pengiklan turut menjauhkan diri. Banyak lagi sebab yang disuarakan. 

Tapi paling menyedihkan ialah kakitangan Kumpulan Utusan sedang menderita. Yang masih bertugas belum menerima gaji bulanan sepenuhnya. Yang menerima tawaran skim pemberhentian kerja secara sukarela anjuran syarikat masih belum menerima pampasan seperti yang dijanjikan.

Baru-baru ini Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) mendedahkan ada kakitangan Utusan yang terpaksa memberi anak kecil mereka air sirap kerana tidak mampu beli susu.

Ada juga kata NUJ, kakitangan yang didesak bank kerana bayaran ansuran pinjaman beli kereta atau rumah tertunggak. Dan menakutkan ada antara pekerja Utusan yang berhutang dengan Ah Long.

NUJ bertindak menubuhkan tabung khas untuk membantu meringankan beban. Ada juga individu dan orang awam tampil membantu.

Usaha itu dialu-alukan pelbagai pihak. Antaranya wartawan veteran A Kadir Jasin yang berjanji akan membantu sekadar yang boleh.

Namun dalam bersimpati terhadap kakitangan Utusan khususnya golongan wartawannya, Kadir baru-baru ini membuat komen berikut dalam ruang komentar di Facebook:” Sikit sebanyak mereka pun salah juga. Gadai profesionalisme kerana takut wahyu Putrajaya zaman Najib”.

“Wahyu Putrajaya" yang beliau maksudkan ialah arahan tertentu daripada kerajaan pimpinan bekas perdana menteri dan presiden Umno Najib Razak.

Ada benarnya penghayatan Kadir itu. Namun selain zaman Najib, Utusan sentiasa juga menerima “wahyu” pada zaman semua presiden Umno yang lalu.

Apa pun teringat saya akan bekas presiden NUJ Mohd Hata Wahari.

Ketika memegang jawatan itu beliau ialah wartawan kanan akhbar Utusan.

Hata (gambar) dipecat pada 2 Mei 2011 setelah panel siasatan dalaman mendapati beliau bersalah atas tuduhan memburuk-burukkan syarikat melalui laporan yang disiarkan beberapa media.

Hata kerap mengkritik keras dasar kewartawanan Utusan yang beliau dakwa antara lain “tidak beretika, tidak bertanggungjawab dan terlalu perkauman."

Setelah dipecat Hata membuat protes bersendirian di hadapan ibu pejabat Utusan di Kuala Lumpur pada setiap 2 Mei.

Namun pada 2013 Hata mengadakan protes solonya di Utusan pada 20 Mei. Beliau dilaporkan diejek dan disorak kakitangan Utusan yang berada di pekarangan ibu pejabat.

Ada yang hilang sabar bertindak cuba merampas kain sepanduk yang dibawa Hata dan melontar dua bungkus mihun ke arah beliau.

Itu kisah lama. Kisah yang di depan mata ialah kesengsaraan yang membebani kakitangan Utusan.

Seorang rakan bekas wartawan mencadangkan setiap ahIi Umno dan juga PAS (kerana parti itu sudah berbaik dengan Umno) membuat sumbangan selain membeli akhbar Utusan setiap hari.

Ini katakan akan membantu sedikit sebanyak kerana kedua-dua mereka itu mempunyai ribuan atau jutaan ahli.

Itu bagi saya bagi jangka masa pendek. Bagaimana pula solusi jangka panjang?

'Umno pegang pakai proksi'

Pelbagai pihak mahu Umno membantu. Umno pula dikatakan tidak berbuat demikian kerana hartanya dikatakan dibekukan pihak berkuasa berikutan siasatan ke atasnya.

Lantas ada pihak berkata terserahlah kepada pemimpin Umno bertindak membalas budi dan jasa kakitangan Utusan terhadap mereka.

Yang kerap kita dengar ialah supaya pihak atau syarikat lain mengambil alih Utusan.

“Saya dengar ada percubaan nak selamatkan tapi Umno tak mahu,” kata Kadir di Facebook.

Adalah difahamkan Umno memegang saham Utusan menerusi individu tertentu. Dalam erti kata lain proksi.

Abdul Aziz Sheikh Fadzir, tengah, lima dari kanan.

Menurut laporan Utusan Online pada 31 Januari 2019, Abdul Aziz Sheikh Fadzir kembali menerajui Utusan Melayu (M) Berhad sebagai pengerusi. Beliau  adalah ahli Umno dan pernah menjadi wakil rakyat bertanding pilihan raya atas tiket Umno.

NUJ menuduh Umno tidak mempedulikan kakitangan Utusan. Menurut NUJ walaupun Umno bukan lagi pemegang saham terbesar parti itu menggunakan proksi.

Setiausaha Agung NUJ Chi Sung Chew mendakwa Umno rela melihat pekerja Melayu menderita demi matlamat politik.

Katanya, jika Umno tidak boleh memastikan Utusan terus hidup dan menjaga kebajikan pekerja lebih elok ia melepaskan kepentingannya dalam syarikat.

Chi mahu Aziz melepaskan semua saham yang dimiliknya. Ini akan membolehkan mana-mana phak yang berminat dan berkemampuan datang menyelamatkan Utusan.

Dilaporkan kira-kira 800 kakitangan Utusan yang menjadi ahli NUJ akan berpiket 19 Ogos ini menuntut hak mereka.

Bak kata Inggeris the ball is at Umno’s feet.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini. 

Belanjawan 2020
  • Infografik
    Carta & Graf
  • Kuiz
    Apa anda dapat?
  • Undian
    Suka atau tidak?
  • Laporan langsung
    Laporan langsung kami