Apabila peluru-peluru berpandu yang hebat dilancarkan Iran ke Israel, itulah legasi Ayatollah Imam Ali Khamenei–rahbar atau pemimpin agung Republik Islam Iran kedua yang memerintah hampir 37 tahun.

Allahyarham diisytihar as-syahid oleh Iran apabila terbunuh di pejabatnya pada Sabtu, 28 Februari bersama menantu dan cucu. Isterinya, Mansour Khojasteh Bagherzadeh yang cedera meninggal dunia tiga hari kemudian.

Mereka diserang oleh jet pejuang Israel dan Amerika Syarikat dengan cara pengeboman sasaran tepat. Ia hanya boleh dilakukan dengan bantuan perisikan Mossad yang terdiri daripada pegawai Iran sendiri dan berada hampir dengan pemimpin itu.

Kejayaan operasi yang dipanggil Epic Fury (Kemarahan Epik) itu dimaklumkan oleh Mossad melalui gambar yang terus disampaikan kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan dilanjutkan kepada Presiden Donald Trump sebelum Iran mengumumkannya melalui Irib TV1.

Maka pembunuhan itu menuntut pembalasan dendam. Maka kalau hendak dikirakan, ia mestilah tidak kurang daripada pembunuhan balas terhadap Netanyahu dan Trump. Operasi Iran itu panggil True Promise 4 (Janji Sebenar 4). Tugas itu perlu digalas oleh Kor Pengawal Revolusioner Islam (IRGC) yang juga dikenali sebagai Sepah. Kor ini adalah salah satu daripada tiga cabang Angkatan Bersenjata Republik Islam Iran (Iriaf) yang terdiri daripada Tentera Republik Islam Iran atau Artesh dan pasukan polis (Faraja).

Artesh menjaga kedaulatan Republik Islam sementara IRGC melindungi integriti Revolusi Islam. IRGC mempunyai lima cabang iaitu Angkatan Darat, Angkatan Laut, Angkatan Aeroangkasa (dahulu Angkatan Udara), Angkatan Quds dan Basij.

Angkatan Quds adalah tentera rahsia yang melakukan perisikan dan operasi sulit di luar negara. Basij adalah Sazman-e Basij-e Mostaz’afin atau Pertubuhan Mobilisasi Golongan Tertindas. Ia merupakan angkatan sukarelawan separa tentera yang ditubuhkan di peringkat daerah dan wilayah.

Pasukan Aeroangkasa ini bertanggungjawab menyediakan peluru berpandu. Peluru berpandu balistik bermaksud senjata itu ditembak dengan kelajuannya bergantung pada graviti apabila ia menjunam jatuh. Peluru berpandu balistik hipersonik pula bergerak kelajuan Mach-5 atau lima kali ganda kelajuan bunyi. Sementara kelajuan supersonik bermaksud Mach-1 atau kelajuan bunyi.

Dalam perang ini, Iran menggunakan tiga senjata iaitu dron syahid, peluru berpandu balistik dan peluru berpandu hipersonik. Dron syahid adalah dron sehala yang menyerang tetapi tidak kembali.

Penjaga integriti Republik Islam

Pemimpin Agung adalah panglima tertinggi IRGC. Kor ini ditubuhkan oleh pemimpin agung pertama, Ayatollah Khomeini. Mandatnya adalah menjaga integriti Republik Islam. Jadi ia bertanggungjawab mengekalkan Iran sebagai “Republik Islam” dan tidak kembali menjadi monarki, raja-raja berperlembagaan, republik demokratik liberal atau republik demokratik rakyat.

Konsep pengawal revolusi ini muncul apabila sesuatu revolusi berlaku. Semasa Revolusi Perancis pada tahun 1789, mereka menubuhkan Pengawal Kebangsaan untuk melindungi revolusi. Semasa Revolusi Rusia pada tahun 1917, komunis menubuhkan Pengawal Merah. Begitu juga semasa Revolusi Kebudayaan China pada tahun 1966, muncul Pengawal Merah yang fanatik. Pasukan-pasukan itu dibubarkan setelah revolusi berakhir. Tetapi di Iran, Pengawal Revolusi dilembagakan menjadi IRGC.

Apabila Ali Khamenei meninggal dunia, seperti yang tercatat dalam perlembagaan, Dewan Pakar Kepimpinan atau Khobregan-e Rahbari yang dianggotai 88 orang mujtahid (ulama yang berkelayakan untuk melakukan ijtihad) memulakan proses mencari calon pemimpin agung.

Dewan Pakar Kepimpinan

Untuk jawatan pemangku, Timbalan Pengerusi Dewan Pakar Ayatollah Alireza Arafi telah dilantik. Beliau adalah juga anggota majlis Shura Negahban (Majlis Pengawal).

Majlis Pengawal yang dianggotai oleh 12 orang ini menetapkan proses pilihan raya dan penggubalan undang-undang di parlimen. Pilihan raya itu memilih presiden dan anggota dewan.

Selaras dengan perlembagaan Iran, Alireza tidak memimpin bersendirian tetapi bersifat troika, iaitu Majlis Kepimpinan tiga anggota yang turut disertai oleh Presiden Masoud Pezeshkian dan Ketua Hakim Gholam-Hossein Mohseni-Ejei.

Salah seorang calon jawatan pemimpin agung ialah Mojtaba, anak kepada Ali Khamenei yang merupakan seorang ulama yang mengajar di Hawza Qom. Hawza yang bermakna pusat ilmu atau seminari adalah institusi melahirkan dan melatih ulama. Qom merupakan pusat ulama-ulama di Iran. Di sinilah makam Ayatollah Khomeini. Boleh dikatakan Qom adalah ibu kota kerohanian Republik Islam Iran manakala Teheran pula ibu kota Iran yang menempatkan pejabat presiden dan parlimen.

Bangunan Dewan Pakar juga terletak di Qom. Baru-baru ini jet-jet pejuang Israel dan Amerika memusnahkan bangunan ini.

Hanya ulama atau mullah yang boleh menjadi anggota Majlis Pengawal dan Dewan Pakar. Tetapi orang bukan ulama boleh dipilih menjadi presiden dan anggota parlimen melalui pilihan raya umum. Ulama pun boleh menyertai pilihan raya. Dalam politik Iran, tidak ada parti politik. Namun begitu, ahli-ahli politik boleh membentuk fraksi atau pakatan sesama sendiri.

Pendidikan untuk menjadi ulama mengambil masa empat tahun. Setelah konvokesyen, para ulama ini wajib memakai serban. Bagi yang keturunan Nabi Muhammad melalui cucunya, 

Serban hitam, serban putih

Saidina Hussein, mereka berserban hitam seperti Khamenei. Bagi ulama yang lain, serban mereka berwarna putih. Ulama Syiah Iran mempunyai bertingkat-tingkat hierarki. Ada yang menjadi marja (pakar rujuk) yang boleh membuat fatwa. Marja paling tinggi dipanggil Ayatollah al-Uzma. Khomeini adalah seorang Ayatollah al-Uzma. Bawah pangkat ayatollah, ada Hujjatul Islam.

Ketiga-tiga anggota troika Majlis Kepimpinan yang baru dilantik itu membuat ziarah pada makam Khomeini dengan melakukan penghormatan kepada Ayatollah Khomeini.

Saya pernah pergi ke Qom dan menziarah makam Ayatollah Khomeini pada tahun 1989, ketika itu beliau baru meninggal dunia. Ali adalah presiden Iran ketika Khomeini meninggal dunia.

Istilah troika berasal dari bahasa Rusia. Pada mulanya ia merujuk pada tiga ekor kuda yang menarik kenderaan. Kemudian digunakan untuk majlis kepimpinan tiga orang. Seperti Iran, Rusia melalui revolusi besar yang menggulingkan sistem beraja czar. Pengasas Soviet Union ialah Vladimir Lenin.

Lepas kematiannya, beliau digantikan dengan Josef Stalin yang memerintah selama 29 tahun. Selepas kematian Stalin, Soviet Union diperintah oleh troika terdiri daripada Malenkov, Beria dan Molotov. Selepas tiga bulan, Nikita Khrushchev muncul sebagai pemimpin Soviet Union.

Ali Khamenei memimpin Iran sebagai Pemimpin Agung selama hampir 37 tahun berbanding 10 tahun kepimpinan Khomeini. Semasa Khomeini, disediakan bakal penggantinya iaitu Hussein Ali Montazeri pada tahun 1979. Tetapi beliau hanya dapat bertahan empat bulan sebelum dilucutkan kedudukannya. Sejak itu tidak dinamakan bakal pengganti Khomeini.

Montazeri yang dikenali sebagai penyokong masyarakat bebas adalah juga seorang Ayatollah Al-Uzma. Beliau adalah salah seorang daripada guru kepada Ali Khamenei.

Khamenei menang pilihan raya presiden pada tahun 1981 dan memegang jawatan itu sehingga tahun 1989 iaitu ketika berlaku Perang Iran-Iraq. Beliau adalah presiden ketiga Iran. Presiden pertama ialah Bani Sadr yang kemudiannya meninggalkan negara itu. Ali Rajaie, presiden kedua mati dibunuh oleh penentang-penentang Republik Islam Iran. Sejak awal lagi, terdapat perisik-perisik asing di Iran, iaitu perisik Iraq, Al-Mukhabarat, KGB (Soviet), CIA (Amerika) dan Mossad (Israel).

Pada tahun 1981 itu ada juga percubaan membunuh Khamenei yang dilakukan oleh Mujahidin-e Khalq (Pejuang Rakyat) dengan menggunakan bom di Masjid Abuzar, Teheran. Dalam demonstrasi anti-kerajaan pada tahun 2025, masjid ini juga telah dirosakkan.

Apabila Ayatollah Khomeini meninggal dunia, Dewan Pakar terus melantik Khamenei sebagai pemangku Pemimpin Agung dalam troika Majlis Kepimpinan sementara proses memilih Pemimpin Agung yang kekal dibuat.

Pinda perlembagaan demi Khamenei

Pada awalnya, Ali Khamenei menolak pelantikannya sebagai Pemimpin Agung. Ini kerana terdapat ulama lebih tua dan kanan dalam hierarki Syiah. Pada masa itu Khamenei belum lagi mencapai tahap marja (pakar rujuk) dan belum perolehi gelaran Ayatollah seperti yang disyaratkan oleh perlembagaan. Beliau hanya memperoleh gelaran Hujatul Islam.

Tetapi Dewan Pakar memilih beliau kerana pengalaman politiknya yang lebih luas berbanding calon-calon ulama lain. Usia yang lebih muda iaitu 50 tahun membuatkan beliau dilihat sebagai lebih berkemampuan. Kebanyakan ulama kanan mencecah usia 80 tahun. Maka akhirnya perlembagaan terpaksa dipinda bagi pelantikan Ali Khamenei sebagai Pemimpin Agung.

Sepanjang tempoh beliau menyandang itu, ada enam presiden dan seorang pemangku presiden. Pemerintahan Khamenei memberikan kestabilan dengan sistem perlembagaan berjalan lancar seperti pilihan raya umum dan pilihan raya parlimen walaupun demonstrasi tidak puas hati sering diadakan.

Sejak penubuhan Republik Islam, Amerika, Israel dan Barat sentiasa memusuhinya. Mereka menuduh Iran sebagai tidak bebas dan tidak demokratik. Kata mereka, walaupun ada pilihan raya tetapi calon-calon perlu disaring oleh ulama. Mereka anggap Iran sebagai kediktatoran teokrasi.

Sememangnya demokrasi Iran tidak seperti Amerika atau Eropah. Sistem di Iran boleh dipanggil sebagai democracy with Iranian characteristics (demokrasi dengan ciri-ciri Iran), sepeti China memanggil sistem politiknya socialism with Chinese characteristics.

Semua negara mempunyai ciri-ciri masing-masing yang mencorak proses demokrasi mereka. Di Amerika, ada peraturan untuk menjadi calon presiden. Tidak semua warganegara boleh jadi presiden. Warganegara kelahiran luar Amerika tidak boleh dicalonkan.

Tetapi lebih parah lagi ialah calon presiden hendaklah mendapat dokongan lobi Yahudi iaitu Aipac atau Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel. Walaupun tiada peraturan mengenainya tetapi dari segi amalan ia adalah wajib dan perkara ini diketahui umum. Adakah itu demokrasi? Dengan mendapat dana dari lobi Yahudi, ia adalah jelas merupakan korupsi. Demokrasi mesti bebas korupsi.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.