KOLUM | Tiada keperluan darurat di Negeri Sembilan
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyatakan tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di Negeri Sembilan ekoran krisis perlembagaan yang timbul. Konflik yang sudah berlarutan ini adalah ekoran bekas Undang Sungai Ujong, Mubarak Dohak enggan menerima pelengseran pusaka oleh para Waris sebagai Undang di luak tersebut.
Terlepas daripada tindakan Zahid mempertahankan tindakan menteri besar Negeri Sembilan, dan barisan para exconya, “Janganlah label derhaka dan biadab mendahului kefahaman tentang duduk perkara,” Zahid berpendapat tiada keperluan darurat diisytiharkan.
Kata Zahid mengenai saranan darurat di Negeri Sembilan, “Saya tidak fikir ia harus menuju ke arah itu sebab tidak ada sebarang kekecohan dari segi keamanan di Negeri Sembilan dan tak perlu pun perkara itu difikirkan. Tentu ada pilihan lebih baik selain mengisytiharkan darurat dan menubuhkan emergency council di Negeri Sembilan.”
Hanya dalam hal ini Ahmad Zahid ternampak benar. Memang tiada keperluan darurat di Negeri Sembilan. Menurut saya, terdapat tiga alasan yang mesti diperhatikan dalam cadangan melakukan darurat di Negeri Sembilan ini.
Di negara kita, terdapat lima siri pengisytiharan darurat berkaitan keadaan politik. Salah satunya terjadi di Kelantan pada tahun 1977, yang tertakluk hanya untuk negeri ini. Dengan menjadikan darurat politik di Kelantan pada tahun 1977 tersebut sebagai rujukan terdahulu, kita barangkali boleh merenungkan masalah yang berlaku di Kelantan tersebut, dan menilai kembali situasi di Negeri Sembilan.
Apa yang berlaku di Kelantan pada tahun 1977?
Darurat di Kelantan terjadi ekoran krisis dalaman PAS Kelantan. Ini berlaku lantaran terdapat bantahan terhadap Mohamad Nasir sebagai menteri besar setelah kerajaan campuran dibentuk pada 24 Ogos 1974. Pelantikan Mohamad Nasir sebagai menteri besar tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada pimpinan dan wakil rakyat PAS. Mohamad Nasir dianggap cenderung kepada parti Umno, dan didakwa bersekongkol dengan Tengku Razaleigh Hamzah, menteri kewangan ketika itu.
Pada 15 Oktober 1977, seramai 20 orang wakil rakyat PAS dalam sidang Dewan Undangan Negeri telah melakukan undi tidak percaya terhadap kepimpinan Mohamad Nasir. Keadaan politik menjadi panas dan rakyat Kelantan bangkit mengadakan tunjuk perasaan di seluruh daerah, termasuklah berlaku demonstrasi besar di Kota Bharu pada 19 Oktober 1977. Ia melibatkan hampir 80,000 orang yang mendesak supaya DUN Kelantan dibubarkan.
Ketegangan yang berlarutan menyebabkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Yahya Petra Sultan Ibrahim pada 8 November 1977, mengisytiharkan Kelantan diletakkan bawah keadaan darurat. Perisytiharan ini disiarkan melalui Warta Kerajaan Malaysia dan dibentangkan di parlimen mengikut kehendak Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan pada hari yang sama. Pengisytiharan ini berbunyi:
“Bahawasanya beta adalah berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang mengancam keselamatan dan kehidupan ekonomi bagi sebahagian Persekutuan iaitu Negeri Kelantan.
“Dan bahawasanya Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan peruntukan bahawa dalam keadaan yang tersebut beta boleh mengeluarkan Perisytiharan Darurat:
“Maka, oleh yang demikian, beta Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim dengan kurnia Allah bagi negeri-negeri dan wilayah-wilayah Malaysia. Yang di-Pertuan Agong pada menjalankan kuasa-kuasa yang tersebut adalah dengan ini mengisytiharkan bahawa Perisytiharan ini hendaklah meliputi seluruh wilayah-wilayah Negeri Kelantan:
“Dan beta adalah dengan ini mengakui bahawa Perisytiharan ini tidaklah dengan apa-apa cara mengurangkan kuasa tetapi hendaklah menjadi tambahan kepada Perisytiharan Darurat yang dikeluarkan oleh beta pada 15 Mei 1969 yang disiarkan dalam Warta No. P.U (A) 145 pada tarikh yang sama.”
Jika kita menilai pengisytiharan darurat di Kelantan ini, kita akan mendapati tiga hal besar.
Pertama, terdapat kekacauan iaitu tunjuk perasaan yang dikatakan berlarutan sehingga menjejaskan keadaan ekonomi di Kelantan tatkala itu.
Kedua, ia dilakukan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Yahya Petra Sultan Ibrahim yang berasal dari Kelantan sendiri.
Jika kita membandingkan keadaan di Negeri Sembilan hari ini, kita tidak mendapati sebarang kekacauan. Umno yang merampas kuasa dari Pakatan Harapan pada 1 Ogos 2026 dalam Pilihan raya negeri sendiri mengakui bahawa pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan berjalan seperti biasa. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias berkata, perkara ini diberi tumpuan oleh kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Ismail Lasim.
Keadaan di Negeri Sembilan juga tenang. Reruai menjual kuih sopang masih dibuka sepanjang jalan ke Kuala Pilah; di Gemencheh masih terdapat mak cik berniaga kuih apam Johol; Kuih Bakar Linggi masih laris, Tampin masih bising-bising dan Believe Fitness Seremban Gateway masih dipenuhi kakak dan abang kaki gimnasium.
Kedua, dalam hal keadaan darurat di Kelantan pada tahun 1977, yang melakukan pengisytiharan darurat tersebut adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang berasal dari negeri itu sendiri.
Pengarah negeri
Dalam hal ini saya tidak fikir, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 iaitu Sultan Ibrahim dari negeri Johor akan bertindak ekstrem mencampuri urusan Negeri Sembilan yang mempunyai raja berdaulat dan berkeadilan tersendiri. Apatah lagi urusan di Negeri Sembilan juga berkait dengan Dewan Keadilan dan luak-luak sedia ada yang mana pemerintah atau Undang yang sah di Sungai Ujong dan Rembau masih setia kepada Yamtuan Besar Tuanku Muhriz.
Ketiga, ketika darurat diisytiharkan di Kelantan, satu Rang Undang-Undang Kuasa-Kuasa Darurat Kelantan 1977 dibentang oleh Hussein Onn, perdana menteri di Dewan Rakyat. Ini bermakna keadaan darurat itu mendapat sokongan perdana menteri di peringkat persekutuan. Saya juga ragu Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan darurat di Negeri Sembilan.
Peruntukan darurat juga akan mendorong Kerajaan Persekutuan untuk melantik seorang pengarah kerajaan negeri. Ia adalah bertujuan untuk menjalankan urusan pentadbiran negeri kerana semua kuasa menteri besar dan barisan exconya akan digantung sepanjang tempoh berlangsungnya darurat ini. Sudah tentu Umno yang menang besar dalam pilihan raya negeri di Negeri Sembilan yang lepas tidak mahu terlepas kuasa. Ini kerana setelah kekusutan ini menjadi-jadi, pengundi di Negeri Sembilan mual dan sedar bahawa mereka terpedaya oleh helah politik parti tersebut. Rata-rata pengundi dibohongi konon parti DAP mengancam maruah dan hak Melayu, selain meletakkan kedudukan raja-raja Melayu di birai. Realiti semasa menunjukkan kebalikan.
Bawah undang-undang darurat, pengarah kerajaan yang dilantik berkuasa untuk menjalankan pentadbiran negeri meliputi tugas mengarah, mengawal, dan menjaga hal ehwal pentadbiran negeri. Beliau akan bertanggungjawab terus kepada perdana menteri serta diwajibkan untuk mematuhi dan menguatkuasakan serta-merta sebarang arahan yang dikeluarkan oleh perdana menteri.
Harus diingat, insiden darurat di Kelantan pada tahun 1977 tidak mengikis kuasa pemerintah atau raja di negeri tersebut sama sekali. Md Rozimi Mohd Nasir dalam kajian akademik berjudul “Kelantan di bawah pentadbiran kuasa darurat 1977” menyatakan dalam kes terdahulu di Kelantan itu, bagi mengekalkan kuasa Sultan atau Raja yang memerintah Kelantan, undang-undang ini memberi kuasa kepada baginda untuk meminta atau mengarahkan Pengarah Kerajaan memberi taklimat kepada baginda apa-apa maklumat berkenaan dengan kerajaan negeri yang boleh didapati daripada pengarah kerajaan.
Yamtuan Besar, Tuanku Muhriz masih Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah. Justeru, jika Negeri Sembilan diletakkan dalam keadaan darurat, bawah undang-undang darurat, pengarah kerajaan masih perlu mempersembahkan sebarang tindakan kepada baginda.
Buktinya, Perdana Menteri Hussein Onn terlebih dahulu membuat kunjungan mengadap Pemangku Raja Kelantan, Tengku Ismail Petra Sultan Yahya Petra pada 11 November 1977. Pelantikan seorang pengarah kerajaan negeri Kelantan dilakukan selepas beberapa nama dikemukakan kepada baginda. Semasa mengadap pemangku raja Kelantan di Istana Mahkota Kubang Kerian tersebut, rombongan perdana menteri terdiri daripada Ghazali Shafie, menteri hal ehwal dalam negeri; Tengku Ahmad Rithauddeen, menteri luar negeri; Mohamed Yaacob, menteri perusahaan awam; Tengku Razaleigh Hamzah, menteri kewangan; Abdullah Salleh, ketua setiausaha negara; Mohd Hanif Omar, ketua polis negara; dan Abdul Malik Abdul Aziz, setiausaha majlis keselamatan negara.
Lantikan Hashim Aman
Hashim Aman yang ketika itu berumur 47 tahun dan merupakan ketua setiausaha Kementerian Pertahanan dipilih sebagai pegawai yang akan dilantik untuk memikul tugas sebagai pengarah kerajaan negeri Kelantan. Pemilihan ini bukan sebarangan, ini kerana beliau pernah berkhidmat sebagai pengarah tanah dan galian Kelantan pada tahun 1963 dan baginda Sultan Kelantan dan pemangkunya ketika itu telah biasa dan berkenan kepada beliau.
Seorang pengarah kerajaan Negeri tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya dan sentiasa melapor kepada pemerintah sebenar negeri. Selepas mengadap pemangku Raja Kelantan pada pagi 17 November 1977, Hashim Aman memulakan tugas di Kota Bharu. Beliau tidak mengubah sebarang perencanaan Kerajaan Negeri malah meneruskan projek-projek sedia ada agar terlaksana dengan sempurna.
Hubungan Hashim Aman dan Pemangku Raja Kelantan Tengku Ismail Petra Yahya Petra juga sangat erat. Malah baginda Pemangku Raja Kelantan turun mencemar duli ke perasmian projek bekalan air di Kampung Lakota, Tanah Merah pada 30 Januari 1978.
Dalam hal Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz sudah tentu tidak boleh dikesampingkan apabila projek di dua kawasan di Jelebu yang dijadikan lokasi pertama perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Negeri Sembilan bermula kelak. Selain Jelebu akan ada satu lagi tapak perlombongan di Tampin, yang telah dikenal pasti dan kini dalam proses Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Menurut bekas Menteri Besar Aminuddin Harun dari Pakatan Harapan, REE adalah sumber hasil baharu di negeri tersebut. Di mana Unsur nadir bumi (REE) di Kuala Pilah dan Jelebu dijangka menyumbang RM18 juta kepada hasil negeri bermula 2027, dengan potensi nilai keseluruhan mencecah RM30 bilion.
Ini membawa kita kepada ingatan Tuanku Muhriz, seorang raja yang enggan berkompromi dengan penjenayah dan jenayah rasuah seraya menitikberatkan integriti. Peringatan ini pernah dititah oleh Baginda pada istiadat mengangkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) pada 7 Ogos 2026. Baginda memberi amaran keras kepada barisan exco supaya tidak menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi, keluarga, atau sahabat handai, terutamanya dalam aspek pemberian tender atau projek kerajaan. Baginda mahukan pemimpin yang berprinsip teguh (persons of honour). Baginda tahu, kekayaan hasil bumi Negeri Sembilan boleh menjadikan sesetengah pihak lupa daratan, nanar, tamak dan haloba.
Oleh kerana darurat di Negeri Sembilan bukanlah solusi yang tersedia, suka atau tidak, Umno dengan wajah Ismail Lasim perlu segera mengadap Yamtuan Besar Tuanku Muhriz dan memohon ampun. Beliau masih boleh berperanan sebagai menteri besar jika beroleh keampunan, dan meneruskan tugasnya dengan minimum empat orang exco.
Pada 2 Ogos 2026 lalu juga, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz mengingatkan menteri besar dan semua Adun supaya sentiasa mematuhi serta menzahirkan taat setia kepada institusi diraja dalam melaksanakan amanah mentadbir negeri. Bertitah pada Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah menteri besar negeri sembilan di Istana Besar Seri Menanti, baginda turut menegaskan kepentingan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan serta mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan.
Ismail Lasim, dan Umno tidak ada pilihan lain.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, merangkap anak buah dari suku Tiga Batu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/attachments/886/Gemini_Generated_Image_5o2gxb5o2gxb5o2g_609580.jpeg)

/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/04/6a83944090d289514ae10db035cbe6a3.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/09/4c1b21b3ad9bf34a7a47a86ee7443a7e.jpg)


/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/09/6d6fa5beba4e2a135bf9bdf532b169da.jpg)