Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Isteri Amy Search yang menjadi pusat pertikaian antara kumpulan itu dan Yazid menafikan dia sengaja menengking pemain dram berkenaan ketika berbincang mengenai isu pembayaran konsert mereka.

Menurut Nourish, apa yang berlaku ialah dia diprovokasi dan secara spontan suaranya agak tinggi.

“Pada hari dia (Yazid) menelefon, saya baru pulang dari Johor dan berada dalam keadaan amat letih hingga terus tidur.

“Sebaik terjaga, saya melihat begitu banyak panggilan terlepas dan mesej daripada Yazid yang tak sempat dibalas," katanya.

Ekoran itu Nourish menghubungi semula Yazid semula untuk mengetahui apa yang diperlukan.

Bagaiamanapun apabila mereka bercakap, Nourish - yang ketika itu baru terjaga daripada tidur - mendakwa Yazid membuat tuduhan dan provokasi terhadap Amy.

Sebagai seorang isteri yang sentiasa menyokong karier suami, kata Nourish, dia terkesan dengan tuduhan melulu Yazid terhadap Amy serta anggota lain Search.

Tuduhan buat rakan terkilan

Bagi Nourish yang juga bertindak selaku pengurus Amy, berada dalam keadaan itu membuatkan dia berasa perlu mempertahankan suami dan keluarga kerana tidak mahu digelar penipu.

“Siapa mahu berdiam diri sekiranya suami sendiri dituduh menipu?

“Saya isteri dia (Amy). Saya tahu etika dia menjalankan kewajipan kepada anggota lain.

“Tindakan Yazid amat mengecewakan kerana kami bersengkang mata hingga ke subuh bagi memastikan Konsert 35 Tahun Search itu dapat berjalan lancar,” katanya di Hartamas, Kuala Lumpur semalam.

Nourish - atau nama sebenarnya Norish Hassan - bercakap kepada media di sidang media Search untuk memperjelaskan keadaan selepas Yazid membuat laporan polis awal bulan ini.

Dalam laporan polis itu Yazid mendakwa Search melakukan pecah amanah berhubung pembayaran untuk konsert 35 Tahun Search yang dijadual diadakan di Litar Antarabangsa Sepang pada 30 Ogos ini.

Akibat tuduhan itu, Amy yang mengasaskan sebuah sekolah tahfiz dianggap sesetengah pihak mempergunakan institusi agama itu untuk kepentingan peribadi.

Yazid yang mengalami masalah kesihatan sepatutnya mendapat slot khas untuk bersama-sama beraksi dengan anggota lain Search dalam konsert berkenaan.

Yazid, 58, juga mendakwa dia ditengking oleh Nourish kerana meminta wang yang dirasakan haknya.

Selalu tiada penyelesaian

Sementara itu Amy berkata mereka berasa terkilannya selepas dilemparkan pelbagai tuduhan negatif oleh rakan sendiri.

Tuduhan itu katanya turut mencemar kredibiliti dan reputasinya sebagai pengasas sebuah sekolah tahfiz.

Kata Amy, dia dan anggota lain Search memang faham perbincangan dengan Yazid selalu gagal mencari persetujuan bersama.

“Susah bercakap dengan Yazid kerana ia sering berakhir tanpa jalan penyelesaian.

“Ketika kejadian itu, saya juga ada mendengar perbualan Nourish dan Yazid, dan saya memahami dia (Nourish) hanya mempertahankan suaminya,” katanya.

Kata Amy konflik yang acap kali timbul benar-benar menguji kesabarannya dan berasa perlu mengambil tindakan tegas setelah berasa ‘disakiti’ berulang kali.

“Seharusnya dia bersyukur kerana mempunyai kawan-kawan yang masih sihat dan boleh bekerja, dan menghulurkan sumbangan ketika dia sakit.

“Tetapi tindakan mencemar nama kawan-kawan begini kami rasa tidak patut berlaku.

“Ini bukan kali pertama Yazid buat hal. Sebelum ini juga pernah timbul perkara sama apabila ada konsert akan berlangsung," katanya.

Lihat Komen
ADS