Amy harap peminat Search sabar, faham
Kemelut dalaman yang menghimpit kumpulan rock tanah air Search memungkinkan peminat tidak senang duduk dan berharap ia dapat diakhiri dengan kesudahan lebih baik.
Untuk itu, vokalisnya Amy berharap peminat lebih bersabar untuk melihat pengakhiran yang bakal melegakan semua pihak.
Menurut Amy segala tindak tanduk diambil Search sejak timbulnya konflik menjelang konsert 35 Tahun Search yang sepatutnya berlangsung pada 30 Ogos ini bukan berpunca daripada masalah peribadi.
Sebaliknya, kata Amy, ia dibuat berdasarkan pertimbangan hal ehwal perniagaan.
“Saya faham sekiranya peminat mula mempersoalkan kedudukan kami sekumpulan dengan timbulnya isu sebegini yang secara tidak langsung mencemarkan reputasi kami.
“Tetapi kami sedaya upaya akan cuba mencari jalan penyelesaian yang terbaik, apatah lagi kami menganggap perkara yang timbul bukanlah berpunca daripada hal personal sebaliknya perniagaan. Dan kami amat serius mengenai perkara sebegitu bagi meneruskan keutuhan band,” katanya kepada Malaysiakini.
Amy ditemui ketika majlis sidang media yang diadakan di Sri Hartamas baru-baru ini.
Pada sidang media itu juga Amy mengumumkan pembatalan kerjasama Afjets Sdn Bhd bagi konsert yang sepatutnya berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang atas alasan penaja "tidak bersikap profesional" menangani perselisihan faham kumpulan itu dengan Yazid.
Jangan gopoh menilai
Ekoran kejadian itu, baru-baru ini juga Amy memuat naik status ringkas tetapi berkias di Facebook: Terima kasih sahabat cukup di sini sahaja.
Bersama status itu, Amy memuat naik gambar bersama Yazid yang sebelum ini menjadi pemain dram Search.
Terdahulu, Yazid membuat laporan polis berhubung tuduhan pecah amanah berhubung isu pembahagian wang konsert.
Dalam laporan itu juga, Yazid turut mendakwa isteri Amy, Nourish mengherdiknya dalam satu perbualan telefon.
Pada 11 Mei lalu Search membuat sidang media menjelaskan keadaan. Kumpulan legenda rock itu juga - melalui peguam mereka Yusmadi Yusoff - menuntut Yazid meminta maaf.
Sehari kemudian Yazid membuat sidang media pula dan menyatakan keengganannya meminta maaf.
Justeru, apabila ditanya Malaysiakini mengenai harapan mengenai peminat yang mengikuti penuh minat isu itu, Amy menyatakan harapannya agar mereka tidak gopoh menilai konflik yang timbul.
“Saya melihat komen peminat yang pelbagai di media sosial. Antaranya mengenai kebimbangan mereka demi masa depan Search.
“Saya berharap peminat tunggu dan satu hari nanti memahami segala yang terjadi walaupun ketika ini bukan mereka yang terpaksa mendepani kemelut yang berlaku,” katanya.

