Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Selebriti harus bijak simpan rahsia perkahwinan

Kehidupan dalam era siber menjadikan semakin ramai individu bersikap terbuka untuk menceritakan hal peribadi mereka kepada umum.

Pada masa ini, isu rumah tangga dan hal dalam kelambu turut dikongsikan sehingga menjadi bahan bualan dan ketawa dalam masyarakat.

Golongan selebriti tidak terkecuali mengambil sikap yang sama apabila menghadapi kemelut dalam perkahwinan mereka.

Menurut pendakwah terkenal Ahmad Dusuki Abdul Rani, seseorang selebriti yang menjadi ikon dalam masyarakat sebaik-baiknya bijak menyimpan dan memelihara rahsia rumah tangga.

“Demi kepentingan perkahwinan dibina setiap pasangan terutama selebriti, golongan ini tidak harus mendedahkan perkara yang lebih elok disimpan daripada umum,” katanya kepada Malaysiakini.

Ahmad Dusuki diminta mengulas kontroversi membabitkan penyanyi lagu ketuhanan Hafiz Hamidun dan pasangannya Joy Revfa yang sedang rancak memenuhi dada media tempatan.

Semalam, Hafiz tampil membuat penjelasan pada sidang media berhubung perkahwinannya yang didakwa tidak sah.

Hafiz berkata, selepas pegawai daerah menjalankan siasatan, Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin didapati masih mempunyai ikatan dengan suami terdahulu.

Penjelasan Hafiz itu dibuat sehari selepas Joy hadir di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari bagi memfailkan permohonan pembubaran nikah.

Elok rujuk mahkamah

Konflik tercetus selepas Hafiz gagal memperoleh dokumen perceraian daripada usahawan kosmetik berkenaan dengan Datuk Mohd Rayos Abdul Rahim walaupun digesa berkali-kali.

Joy sebelum itu telah berjanji untuk menunjukkan surat perakuan cerai perkahwinan terdahulu selepas majlis akad nikah berlangsung.

Menurut Ahmad Dusuki, apabila masalah suami dan isteri tidak dapat diselesaikan melalui perbincangan barulah pasangan berkenaan mendapatkan bantuan daripada pihak ketiga yang dianggap layak seperti orang tengah atau kaunselor.

“Rujuklah pada jabatan agama atau jadikan mahkamah syariah itu sebagai rujukan, dapatkan nasihat untuk selesaikan masalah anda,” katanya.

Apabila diminta pandangannya sama ada perkahwinan diragui (syubhah) perlu diteruskan atau tidak, Ahmad Dusuki menjawab: “Tidak”

“Orang ramai di luar sana tidak perlu meneruskan sesuatu perkahwinan yang diragui.

“Dalam situasi Hafiz dan Joy, mereka bagaikan terperangkap.

“Jangan berkahwin selagi anda tidak mendapat sebarang pengesahan. Disebabkan hal ini sudah pun berlaku, maka sekali lagi saya tegaskan agar rujuk mahkamah,” katanya.

Lihat Komen
ADS