Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Azharina rela dikata gempal, asalkan Redha dapat susu

Dipersenda, diejek atau berdepan komen kritikal yang berpotensi memalukan mengenai saiz badan bukan perkara baru dihadapi penyanyi Azharina Azhar.

Dilabel “artis gemuk yang sudah tidak laku” Azharina sebaliknya mengaku tidak mempunyai masalah dengan berat badannya ketika ini.

Juara Gegar Vaganza musim ketiga itu berkata dia mempunyai kaedah tersendiri untuk mengubah persepsi masyarakat yang sering berpendapat seseorang artis tidak boleh berbadan gempal.

“Untuk berbuat demikian, saya kena pupuk keyakinan diri agar tidak mudah berasa kecewa jika mendapat kecaman. Saya juga berehat selama tujuh bulan.

“Pada masa sama model antarabangsa seperti Tyra Banks menjadi inspirasi saya kerana dia mampu menukar persepsi negatif kepada sesuatu yang positif dan membina keyakinan pada wanita,” katanya.

Dilihat masih berisi pada fizikalnya Azharina, 33, tetap bersyukur kerana dia berjaya mengelakkan dirinya daripada mengamalkan gaya hidup tidak sihat atau mengambil barang terlarang semata-mata untuk menurunkan berat badan.

“Memang lazim, di mata masyarakat seseorang artis mesti cantik dan untuk cantik artis itu perlu berbadan lansing.

"Tanpa disedari itu menjadi antara faktor mendorong ramai selebriti mengambil dadah dengan harapan mereka boleh kurus," katanya.

Anak jadi keutamaan

Menjelaskan kenyataan itu Azharina bersyukur kerana dia tidak pernah mengambil pendekatan mengamalkan rejim kawalan pemakanan melampau, apa lagi menyentuh dadah seumur hidupnya.

Azharina ditemui pada sidang media pengumuman Sayembara Nyanyian Patriotik Selangor (SNPS) 2018 di Petaling Jaya semalam.

SNPS membuka ruang kepada bakat-bakat baru menghasilkan lagu patriotik sempena bukan kemerdekaan dan peserta terpilih berpeluang berkongsi pentas bersama Azharina pada malam akhir pertandingan itu berlangsung.

Kata Azharina sepanjang tempoh berehat selama tujuh bulan itu juga dia menumpukan sepenuh perhatian kepada anak angkatnya, Redha Azhar Azharin, yang diambil daripada seorang ibu tunggal.

Penyanyi lagu Elegi Sepi itu berkata peningkatan berat badan yang mendadak sebanyak 10kg daripada berat asal 60kg berlaku disebabkan dia mengambil hormon untuk merangsang susu badan.

Katanya langkah itu perlu sebagai sebahagian daripada keperluan Redha Azhar.

“Terlalu ramai yang menyatakan kurang senang bila melihat berat badan naik, tetapi mereka tidak faham situasi saya sebagai ibu,” katanya yang hampir genap dua bulan berhenti mengambil pil berkenaan selepas tempoh penyusuan berakhir.

Tetapi Azharina berkata dia tidak kisah menempuh pelbagai dugaan demi membesarkan Redha Azhar yang kini berusia 10 bulan.

Katanya dia berbuat demikian sejak membesarkan seorang lagi anak angkatnya, Rahmat Azharin Aziz Mohd Faisal, yang kini sudah berusia 3 tahun.

“Keutamaan saya ialah anak. Apabila meninggal dunia nanti, anak-anak itulah yang akan mengangkat kita ke liang lahad,” katanya.

Selain Redha dan Rahmat, Azharina pernah mengambil seorang lagi anak angkat, Rizqie Azharin Azhar tetapi bayi itu meninggal dunia akibat pelbagai komplikasi penyakit pada Mac tahun lalu.

Lihat Komen
ADS