Tidak semua hal yang berlaku di dunia ini dapat difahami anak kecil.

Justeru apabila diminta supaya "membeli" adik di pasar raya Azharina Azhar sekadar melayan kerenah anaknya, Rahmat Azharin Aziz Mohd Faisal dengan sabar.

Cerita itu sebenarnya lucu bercampur menyentuh hati.

Kata Azharina ia berlaku selepas adik Rahmat, Rizqie Azharin Azhar, meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit pada 28 Mac tahun lalu.

“Selepas Rizqie meninggal, Rahmat selalu minta: mummy belikan adik..." katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Biarpun kehendak kanak-kanak yang usianya hampir mencecah empat tahun itu memang tidak boleh dipenuhi namun Azharina, 33, mengerti ia adalah lambang kasih sayang yang mendalam seorang abang terhadap adiknya.

Menceritakan bagaimana Rahmat mendapat ilham untuk membeli adik baru, Juara Gegar Vaganza musim ketiga itu berkata, ia bermula sewaktu budak itu mengikutnya ke pasar raya.

“Dia tidak tahu adiknya lahir dari perut seorang ibu. Dia sangka adiknya lahir di pasar raya Hero, tempat potong ayam,” katanya.

Untuk rekod, Azharina, pernah berkahwin dengan seorang usahawan, Datuk Syukri Mohamed, tetapi bercerai pada 2008.

Azharina menerima tanggungjawab besar dengan menerima Rahmat sebagai anak angkat selepas diserahkan oleh sepupunya, Mohd Faisal pada 2014.

Juara Bintang RTM 2001 itu kemudian mengambil Rizqie sebagai anak angkat kedua.

Namun, bayi itu meninggal ketika berusia 23 hari akibat paru-paru dipenuhi susu, pendarahan otak dan mengalami kerosakan buah pinggang.

Selepas Rizqie, Azharina mengambil seorang lagi anak angkat, yang berlaku secara tidak sengaja, Redha Azhar Azharin.

Dalam pada itu, kata Azharina, ada masanya dia sengaja menguji kasih sayang Rahmat terhadap Redha.

Hal itu berlaku terutama apabila dia ingin mengatasi sikap nakal anaknya itu.

“Setiap kali dia nakal saya akan cakap nak jual adik di pasar raya, kemudian Rahmat akan cakap: tak boleh!

"Dia sayang sangat pada adiknya,” katanya.