Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kes gangguan seksual di IPT: Fuziah sedia bantu

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh sedia memberi sokongan dan bantuan sewajarnya kepada mana-mana wanita yang menjadi mangsa gangguan atau serangan seksual di tempat bekerja.

Fuziah berkata, isu gangguan seksual terutama yang berlaku khususnya di tempat kerja adalah masalah yang mesti diberi perhatian serius.

Pada masa sama katanya mangsa tidak boleh takut untuk tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa agar perbuatan tersebut dapat dihentikan.

“Kalau dari segi sokongan kepada mangsa, saya sentiasa ada dan ingin menyatakan kepada mereka, jangan takut untuk mendedahkan perkara yang terjadi.

“Kerajaan sentiasa menyebelahi mereka.

"Budaya orang atas boleh buat apa saja kepada orang bawahan harus diruntuhkan,” katanya kepada Malaysiakini.

Fuziah hadir pada sidang media pelancaran program Hidangan Laluan Sutera di Kuala Lumpur hari ini.

Takut masa depan terjejas

Ia sebuah rancangan khas memaparkan hidangan makanan halal terbitan syarikat MIG Metrowealth yang diterajui David Teo.

Program itu diadakan dengan kerjasama Shen Lan Time International Film iaitu produksi yang berpangkalan di Beijing, China.

Turut hadir Duta Besar Republik China ke Malaysia Bai Tian dan Ketua Pegawai Eksekutif Agen Lan Time International Film Wang Yi.

Fuziah yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam diminta mengulas kejadian gangguan dan serangan seksual yang berlaku di beberapa tempat termasuk institusi pengajian tinggi.

Antaranya kes yang berlaku di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) melibatkan pegawai tinggi badan itu serta orang bawahannya.

Kes itu yang dirujuk ke mahkamah sudah dibicarakan. Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarah defendan membayar ganti rugi am berjumlah RM50,000, ganti rugi teladan RM20,000.

Dia juga diperintah membayar kos guaman sebanyak RM15,000.

Bagaimanapun defendan mengemukakan rayuan dan kes itu akan didengar di mahkamah tinggi tidak lama lagi.

Malaysiakini turut melaporkan kes gangguan seksual turut didakwa berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melibatkan pegawai kanan institusi itu dan seorang pensyarah.

Maszlee Malik

Menteri Pendidikan Maszlee Malik sudah memberi jaminan bahawa kes itu akan disiasat dan tiada perlindungan akan diberikan ke atas pihak yang didapati bersalah.

Menurut Fuziah seseorang mangsa juga boleh merujuk kes mereka ke Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Anggota parlimen Kuantan itu menambah mangsa biasanya takut mendedahkan apa yang dialami kerana bimbang tidak mendapat keadilan sepatutnya.

"Mereka juga percaya aduan sebegitu boleh menjelaskan peluang mereka untuk naik pangkat," katanya.

Dalam pada itu Fuziah turut menggesa supaya diwujudkan undang-undang khusus bagi melindungi mangsa serangan atau gangguan seksual di tempat kerja.

“Gangguan seksual di tempat kerja membabitkan majikan selalunya susah untuk dibuktikan.

“Kita tak ada akta gangguan seksual tetapi kita hanya ada kod etika yang melindungi mangsa seksual di tempat bekerja.

“Bagi saya ia tidak cukup untuk melindungi mangsa dan berharap kementerian yang berkenaan dapat memberi keutamaan untuk menggubal akta berkenaan," katanya.

Lihat Komen
ADS