Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Rektor Aswara sepatutnya direhatkan, kata Fahmi

Seseorang pegawai yang dikaitkan dengan gangguan seksual lebih sesuai direhatkan sementara siasatan atau kes mahkamahnya diselesaikan, kata anggota parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

Kata Fahmi langkah membenarkan tertuduh menjalankan tugas seperti biasa selepas didakwa di mahkamah atas isu gangguan seksual dianggap tidak wajar diamalkan.

“Bagi saya ini satu hal yang tidak patut berlaku dan saya mohon menteri berkaitan mengambil satu pendirian yang sangat tegas," katanya semasa membahaskan usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat semalam.

Kenyataan Fahmi itu dibuat dengan merujuk kepada kes mahkamah membabitkan Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Prof Datuk Dr Mohd Rizon Juhari yang disaman kakitangannya baru-baru ini.

Pada 27 Sept lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur N Kanageswari mengarahkan Mohd Rizon membayar ganti rugi am berjumlah RM50,000 dan ganti rugi teladan RM20,000 kepada plaintif.

Defendan juga diarah membayar kos guaman sebanyak RM15,000.

Mohd Rizon kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan dibuat itu.

Menurut Fahmi dia diberitahu rektor terbabit masih bertugas di Aswara selepas keputusan mahkamah mengenainya dijatuhkan.


Baca Kes gangguan seksual hospital: Bekas ketua jabatan digantung tugas


“Walaupun kes ini belum selesai di mahkamah, saya percaya individu tersebut perlu direhatkan,” katanya.

Fahmi yang juga pengarah komunikasi PKR menambah langkah membenarkan Mohd Rizon terus bertugas boleh menimbulkan salah faham kepada masyarakat dan menganggap kerajaan bertolak-ansur dengan isu gangguan seksual.

“Kalau tidak (direhatkan), kita tidak menghantar satu mesej yang jelas bahawa kita tak boleh bertoleransi terhadap isu gangguan seksual,” katanya.

Menurut Fahmi isu berkenaan boleh mengambil contoh isu sama di Kementerian Kesihatan melibatkan seorang pegawai perubatan dan doktor pelatih.

“Bagi saya kita juga konsisten dengan arahan bagi seorang ketua jabatan di sebuah hospital yang telah direhatkan dan seterusnya dipindahkan,” katanya.

Lihat Komen
ADS