Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Elly anggap pernikahan kedua bagai perkahwinan pertama

Mengakui tidak semuanya sempat dirasai pada majlis perkahwinan terdahulu, Elly Mazlein berkata, jika ada rezeki dia akan 'menebus' keinginan yang tidak kesampaian itu andai ditakdirkan zaman dia menjanda berakhir tahun depan.

Elly yang pernah melangsungkan perkahwinan secara sederhana di sebuah surau sebelum ini, berkata dia beranggapan tidak salah sekiranya peluang kedua yang terhidang di depan mata diraikan dengan lebih sempurna.

“Saya anggap kali ini perkahwinan pertama, maka mana-mana yang tak pernah dirasa dulu, saya nak buat kali ni.

"Dulu masa kahwin (kali pertama), mama baru meninggal dunia. Jadi, majlis itu buat di surau saja.

"Kali ini saya teringin majlis yang meriah, lebih sempurna,” katanya.

Secara bergurau penyanyi lagu Istana Depan Mata itu berkata, tidak salah sekiranya dia memasang angan-angan tinggi memandangkan jejaka bakal dikahwini itu belum pernah mendirikan rumah tangga.

“Kebetulan bakal suami tak pernah berkahwin, dia masih bujang, 28 tahun,” katanya mengenai pemuda berasal dari Kelantan itu.

Wanita paling bahagia

Elly ditemui pada majlis pengumuman program Muzikal Lawak Superstar di sebuah restoran di Kuala Lumpur kelmarin.

Dia bakal memeriahkan siaran terbitan Astro Warna itu sebagai peserta kumpulan Libra bersama dua lagi artis, Bell Ngasri dan Rahim Sepahtu.

Elly sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah, Azmi Hatta, pada November 2014 tetapi bercerai kira-kira 11 bulan kemudian.

Ketika itu Elly hamil empat bulan.

Peserta Gegar Vaganza musim ketiga itu melahirkan cahaya mata perempuan, Putri Sara Sefhia, pada 9 Mac 2016.

Meskipun pernah berdepan kegagalan dalam berumahtangga, pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu kekal positif merancang perkahwinan dengan pemuda berusia sembilan tahun lebih muda daripadanya.

“Saya berasakan seperti wanita paling bahagia di dunia. Saya tak mahu menghakimi bakal suami. Saya percaya semuanya adalah tentang jodoh dan rezeki,” katanya.

Berkongsi lanjut keterujaannya, Elly berkata, dia tidak sabar untuk menamatkan zaman janda memandangkan keluarga masing-masing sudah mengenali antara satu sama lain.

“Memanglah teruja. Keluarga saya pun dah sayang dia. Kalau boleh nak percepatkan segala urusan,” katanya.

Lihat Komen
ADS