Selepas bebas daripada mendekam selama lima penjara di penjara, Vanessa Angel mengadakan majlis doa selamat bersama 20 orang anak yatim semalam.
Aktres yang disabitkan dengan kesalahan menyebar kandungan pornografi itu mengadakan majlis tersebut di pejabat peguamnya, Milano Lubis, di Jakarta Selatan.
Walaupun terpalit dengan dakwaan menjual tubuh kepada lelaki hidung belang dan terbabit dalam rangkaian sindiket pelacuran kelas atasan, semalam pelakon telefilem Cinta Kan Membawamu Narik Angkot Lagi itu tampil dengan pakaian sopan.
Dia berkemeja lengan panjang, berseluar denim biru dan bertudung.
Selepas melambaikan tangan pada petugas media, Vanessa langsung duduk di antara anak-anak yatim tersebut; pengurusnya, Lidya, dan Milano.
Semasa doa dibacakan, Vanessa, 27, kelihatan tenang sambil khusyuk mengaminkannya bersama anak-anak yatim terbabit.
Selepas selesai Vanessa menyantuni anak-anak yatim itu sambil meminta mereka mendoakan yang terbaik buatnya.
Terikat dengan kontrak
Bagaimanapun sepanjang majlis doa selamat itu berlangsung, Vanessa enggan menjawab sebarang pertanyaan yang dilontarkan petugas media.
Cuma sesekali Vanessa mengucapkan terima kasih dan melambaikan tangannya.
“Terima kasih teman-teman,” jawabnya ringkas seperti dipetik Tribunnews.
Namun kekangan komunikasi Vanessa bukanlah kerana dia enggan bertemu media atau mahu merahsiakan sesuatu, sebaliknya disebabkan kontrak eksklusif yang dimeterai dengan sebuah stesen televisyen tempatan, Minie TV.
Menurut Lidya, selama kontrak tersebut berkuat kuasa, Vanessa tidak dibenarkan memberikan sebarang komen kepada media.
Baca Vanessa dapat dukungan mak-mak Jawa Timur
Ditanya mengenai kontrak tersebut, Lidya berkata, ia agak "lumayan".
“Ya, namanya selama lima bulan tak ada kerja, dia tiada pendapatan. Jadinya lumayanlah angka kontrak untuk teruskan kehidupan,” katanya di lokasi sama.
Kata Lidya lagi, Vanessa menandantangani kontrak itu tiga hari sebelum dibebaskan dari penjara Medaeng di Jawa Timur.
Bagaimanapun, Lidya menolak untuk menjelaskan butiran kontrak itu lebih lanjut saat ditanya anggaran nilainya sama ada kira-kira Rp500 juta (RM146,155) hingga berbilion rupiah.
Vanessa dibebaskan dari penjara 30 Jun lalu selepas menjalani hukuman lima bulan atas kesalahan menyebarkan bahan lucah berkaitan pelacuran dalam talian.
Vanessa didapati bersalah menyebarkan bahan seperti gambar dan video dalam kes membabitkan empat bapa ayam serta sejumlah artis dan model majalah dewasa.
