Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fizz Fairuz masih terbuka maafkan Makcik Puaka

Meskipun sudah berlanjutan lebih tiga bulan dari tempoh diberikan, Fizz Fairuz masih berharap dapat bersemuka empat mata dengan pemilik akaun Instagram (IG) Makcik Puaka berhubung dakwaan fitnah membabitkan dirinya.

Kata pelakon itu, hatinya masih terbuka untuk memaafkan pengendali akaun gosip terbabit biarpun nama baiknya sebelum ini tercemar ekoran berita kurang sahih yang dilaporkan Makcik Puaka.

“Memang dia ada memuat naik kenyataan maaf pada Insta Story, namun, bukan secara peribadi kepada saya,” katanya yang ditemui pada majlis pra pelancaran Anugerah Bintang Popular BH ke-32, di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam tadi.

Justeru, seboleh-bolehnya aktor dengan nama sebenar Mohd Fairuz Zainal Abidin itu ingin mencari penyelesaian secara damai dengan pemilik akaun tersebut.

“Saya hanya mahu bersemuka dengan individu yang memegang akaun Makcik Puaka itu,” katanya.

Individu yang berselindung di sebalik nama Makcik Puaka itu sebelum ini didakwa menyebarkan laporan dengan memberi gambaran bahawa Fizz seakan-akan lelaki bergelar Datuk Seri yang ditangkap khalwat di Pulau Perhentian, Terengganu pada 6 April lalu.

Susulan itu, Fizz, 39, memberi tempoh seminggu agar individu terbabit tampil memohon maaf secara lisan bagi mengelak berdepan tindakan saman.

Pada 13 April lalu - iaitu selepas genap seminggu tempoh diberikan - pemilik laman sosial berkenaan membuat permohonan maaf melalui akaunnya dan mengaku membuat andaian berdasarkan maklumat yang diterima daripada pengikutnya yang berada di Terengganu pada ketika itu.

Bagaimanapun, Fizz menyatakan keengganannnya untuk menerima permohonan maaf dibuat dengan alasan ia tidak memadai sebaliknya, dia mengajak untuk datang bersemuka

Fizz juga membuat laporan polis pada 16 April lalu ekoran kegagalan Makcik Puaka membuat permohonan maaf seperti dituntut dalam tempoh dikehendaki. 

Mengulas lanjut, kata Fizz, ketika ini dia hanya menunggu nasihat daripada peguam dan pihak sewajarnya sebelum meneruskan tindakan selanjutnya.

“Kes itu bukan senyap tapi siasatan masih berjalan. Sebenarnya saya sudah mengetahui beberapa butiran peribadi seperti alamat kediaman pengendali IG terbabit.

“Apa boleh dikongsikan setakat ini adalah kami tahu dia seorang lelaki,” katanya.

Untuk rekod, pengendali akaun tersebut tidak lagi menggunakan nama Makcik Puaka dan sudah menukar identitinya susulan kejadian tersebut.

Lihat Komen
ADS