Paling Popular
Terkini

Faizal Tahir meminta orang ramai berhati-hati menyimpan sebarang gambar - terutama bersifat peribadi - menggunakan perkhidmatan simpanan dalam talian seperti iCloud.

Kata Faizal, peringatan itu dibuat bagi mengelak pengguna berdepan perkara tidak diingini.

"Apa saya boleh katakan adalah berhati-hati menggunakan iCloud," katanya.

Faizal ditemui pada majlis pengumuman album terakhir dihasilkannya iaitu Rojak di ibu pejabat Warner Music, Mutiara Damansara, Petaling Jaya hari ini.

Faizal atau nama penuhnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir berkata demikian ketika diminta mengulas gambar lelaki tanpa pakaian didakwa mirip wajahnya awal Julai lalu.

Sebelum ini Faizal tidak memberi sebarang penjelasan berhubung imej itu, netizen kemudian membuat spekulasi dengan mendakwa susuk tubuh lelaki beraksi depan cermin itu seperti penyanyi Ragaman berkenaan.

Di depan media pula Faizal menyifatkan imej berkenaan tular ekoran ada pihak cuba mensabotaj dirinya.

"Saya tak pernah keluarkan imej tu daripada telefon genggam. Saya ada bersenam dan cuba nak lihat perkembangan tubuh badan sendiri," katanya.

Serah kepada Yang Satu

Tambah penyanyi itu, netizen wajar berkongsi perkara baik daripada sesuatu yang boleh merosakkan minda masyarakat seperti gambar bogel seseorang.

"Ada banyak lagi perkara baik boleh dikongsikan. Kongsilah perkara yang berfaedah," katanya.

Dia yang turut dikenali dengan lagu Mahakarya Cinta itu berkata, sebenarnya tidak ada perkara yang mahu disembunyikan di sebalik penularan imej tersebut.

"Umur saya dah 40, banyak lagi perkara lain boleh dibuat.

"Untuk sesiapa yang menantikan imej sedemikian, enjoy (nikmatilah ia)" katanya.

Bapa kepada enam anak itu juga berkata tidak perlu menjelaskan secara terperinci perkara yang berlaku sebaliknya berserah perkara berkenaan pada tuhan.

"Cukuplah perkara ni hanya isteri, saya dan Allah yang tahu tak perlu diperjelaskan pada sesiapa," katanya.

Pada masa sama dia tidak menolak kemungkinan ada pihak cuba meruntuhkan rumah tangga yang dibina bersama Siti Raihanim Noran sejak 15 tahun lalu.

"Kalau ini percubaan orang bagi mengganggu rumah tangga, saya doakan yang baik-baik untuk orang itu," katanya.

Sementara itu, mengulas berkenaan Rojak, Faizal mengesahkan bahawa album berkenaan merupakan karyanya yang terakhir akan dihasilkan.

Menurut Faizal, timbul salah faham apabila ada pihak mendakwa dia bakal berhenti daripada meneruskan karier nyanyian selepas ini.

"Tak bersara. Cuma perlahankan karier saja. Saya akan hasilkan single sekiranya terasa untuk berbuat demikian.

"Saya amat sayangkan muzik. Saya masih akan duduk di belakang tabir dan hasilkan karya sekiranya ada artis masih berminat menggunakan khidmat saya," katanya.

Faizal sebelum ini melancarkan empat video muzik dalam tempoh seminggu iaitu Fire & Water pada pada 26 Julai, Ratu (31 Julai), Until We Meet Again (1 Ogos) dan Kamu pada hari ini.

Lihat Komen
ADS