Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Rojak Faizal Tahir gah di tengah Kuala Lumpur
Diterbitkan:  Aug 9, 2019 9:38 PM
Dikemaskini: 1:38 PM

Penyanyi dan komposer Faizal Tahir melakar sejarah apabila kulit albumnya yang kelima - Rojak - diabadikan pada dinding bangunan berhampiran Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Melalui akaun Twitter miliknya, Faizal berkongsi imej mural tersebut selain mengucapkan penghargaan atas usaha dihasilkan pelukis grafiti popular, Katun, atau nama sebenarnya Abdul Hafiz Ab Rahman.

Penyanyi Mahakarya Cinta itu berkata, dia amat berbesar hati dengan penghargaan diberikan kepadanya.

“Saya sangat berbesar hati dan rasa penuh rendah diri melihat kulit album #Rojak di Pasar Seni, Kuala Lumpur.

“Tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan saya. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah,” ciapnya.

Media melaporkan, tempoh selama dua hari diperlukan untuk menyiapkan sepenuhnya mural tersebut.

Lukisan itu kemudian ditandatangani Faizal atau nama penuhnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir sambil disaksikan oleh Penyelaras Projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Marzuki Ahmad.

Untuk rekod, Rojak dilancarkan 2 Ogos lalu dan menampilkan sembilan lagu setiap satau membawa genre berbeza.

Ia menempatkan antaranya lagu Ragaman, Bisa Aja, Starfeather dan Ratu.

Menjelaskan pemilihan nama album, Faizal berkata, dia menggunakan perkataan rojak kerana ia sinonim dengan budaya Malaysia yang dilatari pelbagai kaum dan budaya.

Katanya, sebagai seorang yang gemar menjelajah ke negara orang, Malaysia tidak dapat dibandingkan dengan mana-mana negara yang pernah dilawatinya sebelum ini.

“Saya belajar banyak pengalaman dan budaya baru tapi Malaysia tetap terbaik.

"Tak ada negara macam ni. Kita ni rojak. Saya pun ada darah campuran Acheh, Cina dan Pulau Pinang,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS