Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shima minta usah kecam suami
Diterbitkan:  Aug 27, 2019 8:45 PM
Dikemaskini: 12:45 PM

Penyanyi Luka Dilukai, Shima, meminta orang ramai tidak menjatuhkan 'hukum' pada suaminya yang didakwa tidak bekerja malah bergantung hidup padanya semata-mata.

Kata Shima, masyarakat tidak wajar mengecam Abdullah Rosli sekiranya tidak mengetahui kesahihan sesuatu cerita.

"Tak baik buat anggapan begitu. Memang suami saya sakit, dan kalau masih tak puas hati boleh tanya dia sendiri," katanya seperti dipetik Harian Metro hari ini.

Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 50, berkahwin dengan Abdullah, 42, tiga tahun lalu. Ia adalah perkahwinan kelima Shima.

Turut terkenal dengan lagu Teringin, Shima berkata, seboleh mungkin dia tidak mahu menceritakan kisah peribadi kepada masyarakat.

“Tak payahlah nak pertikai sangat. Saya tahu suami bagaimana.

"Takkanlah nak kena beritahu semua perkara kepada orang sedangkan ini hal rumah tangga kami," katanya.

Sama-sama beli barang

Menurut Shima lagi, mereka berdua memang mengalami masalah kesihatan dan tidak semua orang tahu apa yang dialami.

"Suami pernah terbabit dalam kemalangan yang agak serius, manakala saya mengalami masalah sakit cakera tulang belakang tergelincir (slipped disc) sejak 2013.

“Dulu dia buat kerja kontrak, bancuh serta angkat simen dan akhirnya mengalami sakit pinggang yang kronik. Itulah punca dia tak dapat bekerja berat,” katanya.

Mengulas lanjut, Shima mengakui memang dia menyayangi suaminya itu, namun enggan memberi muka seperti yang didakwa umum.


Baca 'Kak Limah' rayu jangan lupa bela nasib artis veteran


 “Dia bukan ambil kesempatan kerana waktu saya berniaga Warung Teringin, suami ringan tulang saja bantu tolong bungkus nasi, buat air, angkat lauk dan tolak troli dari rumah kami ke gerai.

“Kami berniaga bersama-sama. Awal pagi kami naik motosikal pergi pasar basah untuk cari bahan masak.

"Tak mengapalah, saya faham. Biasalah warganet ada pelbagai kerenah dan tak ambil kisah sangat,” katanya.

Pada masa sama, Shima berkata, dia sentiasa memerlukan suaminya untuk berada di sisi bagi membantu pergerakannya.

 Katanya, Oktober depan dia dijadual berjumpa pakar tulang belakang dari Jepun di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Sudah pasti dia akan minta saya buat ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) di tingkat bawah. Siapa lagi yang boleh saya harapkan selain suami?

“Di rumah pula, saya susah untuk bangun dan sangat sakit. Suami kena bantu angkat saya secara perlahan-lahan.

"Memang saya tak boleh tinggal seorang diri di rumah. Orang tak tahu semua ini kerana kami tak pernah cerita,” katanya.

Kehidupan jernih dilalui Shima bertukar jerih selepas dia mengidap penyakit misteri, selain masalah sakit saraf dan tulang belakang yang ditanggung menyebabkannya terpaksa menutup Warung Teringin pada Mac lalu.

Penyanyi itu terpaksa menerima hakikat dikategorikan sebagai golongan asnaf oleh Lembaga Zakat Selangor pada tidak lama dulu.

Shima juga pernah melahirkan hasrat untuk memiliki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Ia bagi mengurangkan beban sewa RM600 sebulan yang ditanggungnya apabila menyewa pangsapuri di Damansara Damai sejak enam tahun lalu.

Menerusi bantuan Yayasan Kebajikan Artis Tanah air yang diterajui DJ Dave, impian Shima bakal terlaksana apabila dia bakal menerima kunci untuk menduduki rumah PPR Lembah Subang, dijadualkan Jumaat ini.

Lihat Komen
ADS