Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Siapa 'Maria Menado' melambai di tepi pokok pagi-pagi buta?

Selepas 62 tahun berlalu, pengalaman melihat Maria Menado melambai-lambai ke arahnya dari tepi pokok pada awal pagi masih jelas diingati pelakon veteran, Salmah Ahmad.

Walaupun Maria berpakaian seperti pontianak, ia bukanlah begitu aneh buat Salmah kerana mereka memang sedang giat menyiapkan penggambaran filem Pontianak.

Ketika itu - pada 1957 - kata Salmah, dia membawa watak anak kepada Comel yang dilakonkan oleh Maria.

"Saya pelik, apa Kak Maria buat seorang diri di tepi pokok tu?

"Sebelum itu saya nampak baru saja habis bersolek di bilik. Saya tanya sama ada dia nak makan atau tak, dia hanya geleng-geleng kepala saja sebab dalam keadaan bersolek tebal memang sukar nak bercakap," katanya.

Maria juga, katanya, pada masa sedang mengambil mood sebelum berlakon.

Salmah kemudian keluar dan pergi ke tempat lain. Ketika itulah dia ternampak lembaga menyerupai Maria di tepi pokok.

"Saya pelik, cepatnya Kak Maria bergerak ke situ dari bilik solek," katanya.

Semua hitam dan putih

Salmah - atau nama sebenarnya Salmah Lagio - ditemui pada majlis pratonton filem Dendam Pontianak di Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini. Turut hadir, Maria atau nama asalnya Liesbet Dotulong.

Dendam Pontianak menjengah layar perak di seluruh negara mulai 12 Sept ini.

Menceritakan lanjut peristiwa itu, Maria berkata, sebenarnya dia tidak pun berdiri berhampiran pokok seperti yang dilihat Salmah.

"Saya pun pelik apabila Salmah bertanyakan hal tu pada saya. Mana ada, saya tak pergi dekat mana-mana pokok pun.

"Itu memang bukan saya," katanya.

Untuk rekod, nama Maria, 87, begitu sinonim dengan watak pontianak kerana menjadi pelakon Melayu pertama menjayakan filem seram di negara ini.

Menggunakan bajet sekitar RM182,000, Pontianak mengambil tempoh kira-kira tiga bulan untuk disiapkan.

Filem berkenaan membawa kejayaan besar hingga memberi impak terhadap karier Maria.

Berkongsikan pengalaman sebagai pelakon pada zaman itu, Maria berkata keadaan dilihat amat berbeza berbanding sekarang.

Kata Maria, antaranya dia perlu menyolek diri sendiri selain membawa koleksi pakaian sendiri semasa melakukan penggambaran.

"Zaman dulu-dulu mana ada semua (kemudahan) yang ada sekarang ni.

"Jurusolek atau teknologi, kreativiti semua dilakukan sendiri dan pengarah seni akan bantu untuk kelihatan lebih seram.

"Semua pun hitam dan putih saja masa tu," katanya.

Lihat Komen
ADS