Malaysiakini Seni & Hiburan

Black yakin mampu cabar suara Jamal melalui Azura

Nadia Azam

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Black Hanafiah mengaku dia berdepan cabaran hebat untuk menyaingi “suara jantan” Jamal Abdillah apabila diminta mempersembahkan lagu Azura - nyanyian asal Raja Pop itu - bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).

Disebabkan perbezaan tona suaranya berbanding Jamal, Black berkata, dia perlu membuat persediaan lebih berbanding biasa.

“Suara jantan dia (Jamal) memang mencabar. Suara saya pula agak nyaring. Justeru perlu cari keserasian apabila saya menyanyi dengan OSK nanti,” katanya.

Black ditemui pada sidang media pengumuman OSK Plays Epic Screen Themes in Concert di Istana Budaya hari ini.

Selain Black, penyanyi Liza Hanim dan Sean Ghazi juga bakal mewarnai persembahan OSK yang dijadual beraksi di Istana Budaya pada 1 dan 2 November depan.

Persembahan OSK itu akan diketuai Mustafa Fuzer Nawi sebagai konduktor.

Bagaimanapun, secara bergurau, penyanyi Anugerah Terindah itu berkata, dia tidak gentar sekiranya persembahannya mungkin akan ditertawakan Jamal.

'Mengidam' sejak kecil

Bahkan, menurut Black, mungkin pada hari berkenaan dia benar-benar berkebolehan untuk menyampaikan lagu Azura dengan lebih baik berbanding penyanyi berusia 60 tahun itu.

“Saya tak takut kena gelak. Mungkin saya boleh nyanyi lebih baik daripada Jamal,” katanya berseloroh.

Azura merupakan runut bunyi untuk filem dengan judul sama yang diterbitkan pada 1984. Ia sebuah kisah cinta sepasang anak muda dilakonkan Jamal dan Fauziah Ahmad Daud.

Filem itu juga membantu menaikkan nama Jamal sebagai antara pelakon popular pada waktu itu selepas dia menjuarai pertandingan Bintang RTM pada 1978.

Sementara itu, Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah mengaku teruja apabila menerima kejutan motorsikal jenama Husqvarna 250 daripada isterinya, Naquia Yasirah Mohd Khairi, baru-baru ini.

Menurutnya, Naquia - atau lebih mesra disapa Cira - juga menyokong aktiviti masa senggangnya itu.

“Isteri risau sebab pernah kemalangan. Tapi saya bagitahu kalau cuti tak mahu duduk saja-saja nak buat aktiviti lasak macam ni.

“Saya pun idam nak sertai pertandingan sejak berusia 11 tahun tapi masa tu terdapat kekangan wang,” katanya.

Dengan motosikal itu juga Black merancang untuk menyertai Kemaman International Motorcross Challenge pada 19 dan 20 Oktober ini.