Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Entah berapa kali nama Noorshila Amin disebut-sebut sesetengah orang bakal tersingkir daripada pertandingan Gegar Vaganza musim keenam (GV6) yang sedang 'hangat' di TV sekarang.

Namun pada penghujung siaran langsung itu jugalah penyanyi Rambu Ramba itu berjaya meloloskan diri ke minggu seterusnya.

Pada minggu kelapan Noorshila malah tidak berada dalam kelompok tiga penyanyi terakhir dalam penerimaan mata daripada juri.

Justeru, bagi penyanyi itu dia tertanya-tanya mengapa namanya disasarkan sebagai calon peserta yang akan tercicir daripada melangkah lebih jauh dalam GV6 bersama penyanyi lain seperti Jatt, Naqiu, Sham Visa, Nurfatimah dan Wann.

"Kenapalah mereka rasa macam itu... jahat sangat ke Mama ni? Tak elok ke saya nyanyi?

"Apa pun, minta maaf ya, saya akan ke minggu seterusnya," kata Noorshila sambil ketawa apabila ditanya pemberita mengenai perkara itu.

Noorshila - atau Mama, iaitu panggilan bagi dirinya - ditemui selepas sidang media GV6 minggu lapan, di Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam, Ahad lalu.

Akan cabar diri sendiri

Pada minggu yang bertemakan Reset itu, Noorshila menyanyikan lagu Samar Bayangan yang dipopularkan oleh penyanyi Indonesia, Nicky Astria.

Memperoleh markah keseluruhan berjumlah 62 peratus daripada juri profesional terdiri daripada Ramli M S, Hetty Koes Endang, Fauzi Marzuki dan Ahmad Tamimi Serigar, Noorshila berpeluang mara ke pusingan suku akhir GV6 pada 8 Dis ini.

Pada minggu kesembilan, Noorshila mendapat tugasan untuk menyanyikan lagunya sendiri, Ahai Usahlah.

Kata Noorshila, kata-kata sedemikian tidak mempengaruhinya malah menjadi motivasi untuk dia memberikan persembahan terbaik.

"Apa yang mereka kata tu, Mama lawan," katanya.

Sementara itu mengenai lagu yang akan didendangkannya Ahad nanti, Noorshila tidak menganggap ia suatu bonus atau tugasan mudah.

Sebaliknya kata Noorshila lagu tersebut menjadi cabaran buatnya kerana dia tidak bercadang membawakannya sama seperti lagu berkenaan diterbitkan pada 1991 dulu.

Menurut Noorshila dia akan memberikan sisi berbeza serta memastikan pernafasannya dapat dikawal bagi membawa lagu berentak rancak itu.

Untuk rekod membawakan lagu sendiri dalam persaingan GV bukanlah perkara baru.

Pada musim kedua, Siti Nordiana pernah menyanyikan lagu sendiri, Memori Berkasih bersama Lan Solo dan akhirnya berjaya muncul sebagai juara.

Pada GV3, Nora pula menyanyikan lagunya, Sandiwara. Namun tidak seperti Siti Nordiana, Nora gagal mara lebih jauh.

Kata Noorshila, dia perlu menyanyikan lagu Ahai Usahlah itu dengan lebih baik disamping tidak mengekalkan susunan muzik dan konsep lagu seperti sebelumnya.

“Insya-Allah saya akan lawan diri sendiri,” katanya.

Lihat Komen
ADS