Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Persatuan rasa terpinggir desak Gobind berundur

Enam persatuan yang terlibat dalam dunia seni tanah air hari ini sepakat menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, melepaskan jawatan kerana didakwa gagal membawa pembaharuan pada Perbadanan Kemajuan Nasional Filem Malaysia (Finas).

Bercakap pada sidang media hari ini, Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Khir Mohd Noor, berkata keputusan terbabit turut didorong oleh keluh-kesah mereka terhadap Pengerusi Finas, Hans Isaac, yang dianggap tidak layak memegang jawatan berkenaan.

Justeru, katanya Hans Isaac juga digesa berundur kerana dipercayai menjadi punca Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri - yang kini direhatkan - melepaskan jawatannya lebih awal daripada sepatutnya.

"Sikap acuh tak acuh menteri terhadap masalah industri selain tak mesra dengan penggiat seni menyebabkan kami berasa jauh dan terpinggir.

"Hingga kini kami belum berkesempatan berkongsi pandangan berbincang tentang masalah industri dengan menteri kerana beliau seolah-olah cuba bertemu kami kerana hadir untuk berucap, tapi kemudian menghilangkan diri dalam beberapa siri majlis.

"Hans pula juga dilihat sering mencampuri urusan Ahmad Idham hingga membawa kesan CEO itu direhatkan," katanya.

Bercakap mewakili enam persatuan itu, Khir berkata, selaku pengerusi Finas, Hans Isaac boleh diibaratkan bekerja dengan syok sendiri apabila tampil dengan idea-idea remeh dan lama.

Kalau rehat, kenapa

"Apa dia utarakan sudah dibawa persatuan sebelum ni, seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF), dan yang terbaru syarat berkaitan mekap yang pada anggapan kami tak wajar dibangkitkan," katanya.

Desakan peletakan jawatan oleh persatuan itu turut dibuat ke atas beberapa ahli lembaga Finas yang didakwa dilantik atas kepentingan peribadi.

Khir ditemui pada sidang media khas di sebuah restoran di ibu kota hari ini.

Selain Profima, turut hadir Presiden Persatuan Sutradara Malaysia, Dr Ahmad Ibrahim; wakil Persatuan Komuniti Filem Titiwangsa, Isazaly Isa; Presiden Pertubuhan Industri Kreatif Digital, Mohd Dean Lau Abdullah, Wakil Persatuan Sinematografi Malaysia Mohd Filus Ghazali dan Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zuraini Kassim.

Hadir sama, mantan ketua pengarah Finas, Kamil Othman serta Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Nadzim Johan.

Terdahulu, nama Finas meniti di bibir penggiat seni susulan pendekatan agensi itu membabitkan isu caruman KWSP dan pelakon muda tidak dibenarkan disolek menjadi tua yang tidak mendapat persetujuan ramai.

Selain itu cadangan kawal selia ke atas kandungan platform digital seperti Netflix - yang kemudian diperjelaskan Ahmad Idham sebenarnya cuma ingin dibahaskan - turut meletakkan Finas sasaran kritikan.

Kemelut Finas tercetus apabila timbul desas-desus Ahmad Idham direhatkan secara tiba-tiba hanya selepas lapan bulan berkhidmat. 

Finas semalam melalui kenyataannya mengumumkan Ahmad Idham akan meninggalkan jawatannya selepas memohon agar kontraknya sebagai ketua pegawai eksekutif dipendekkan. 

Khir berkata mereka meminta penjelasan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia berhubung status Ahmad Idham ketika ini.

Khir Mohd Noor

"Kalau betul direhatkan, kenapa dia direhatkan? Kalau benar dipecat, apa alasannya dan siapakah pengganti Ahmad Idham?" katanya.

Khir berkata, sebenarnya terlalu banyak perkara yang menjadi tanda tanya berlaku dalam Finas dan belum nampak sebarang penyelesaian, termasuk isu pemberian geran kepada penerbit filem.

"Kami nak tahu ke mana pergi geran diberi kepada penerbit dan mana filem-filem yang patut dihasilkan? Tolong pulang balik kepada Finas kalau filem tak jadi supaya orang lain boleh manfaatkan.

"Isu inilah antara yang sudah lama kami pertikaikan.

"Kalau tak boleh selesai masalah industri tutup saja Finas dan tubuhkan sebuah suruhanjanya berkaitan sebagai pengganti," katanya.

Lihat Komen
ADS