Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN | Apa yang kita mampu fahami dari ungkapan "even a brick wants to be something?"

Ungkapan itu dinyatakan Louis Isadore Kahn, seorang arkitek ulung yang bertanggungjawab menghasilkan bangunan Galeri Seni Universiti Yale serta pelbagai binaan ikonik lain.

Misalnya Perpustakaan Akademik Phillips Exeter, Muzium Seni Kimbell Art Museum, Taman Empat Kebebasan Franklin D Roosevelt dan Institut Kajian Biologi Salk di serata AS.

Kahn pada zahirnya hanyalah seorang arkitek biasa. Dia berfikir, mereka cipta dan membangunkan selayaknya tapak gersang dengan suatu binaan bangunan untuk kegunaan masyarakat.

Namun apa yang menjadikan Kahn begitu menarik ialah bagaimana dia mengangkat seni bina rekaannya kepada manusia. Sehingga dia percaya lalu mengungkapkan: “Even a brick wants to be something" kepada kita.

Pemikiran Kahn membuatkan manusia yang tidak pernah endah terhadap seni bina kemudian menjadi peduli, malah cuba memahami tentang apa dunia itu sebenarnya.

Ya, memang banyak pelajaran terpenting dalam pembinaan manusia dan negara itu selalunya kita sangkakan hanya wujud dalam bangunan batu-bata di sekolah dan unversiti sahaja.

Di situlah masalah kita sebenarnya.

Justeru ada perdana menteri percaya bahawa hanya dengan berbahasa Inggeris kemajuan negara ini dapat diselamatkan. Dia percaya bahasa Inggerislah satu-satunya cara yang bisa mencerdik dan memandaikan anak bangsa.

Apa gunanya sekolah

Kerana itu dia kelihatan gelojoh dan gopoh mahu mengitar semula dasar yang pernah dilaksana dan terbukti gagal, bukan saja untuk bahasa Inggeris itu, malah membawa bencana kepada mata pelajaran sains dan matematik.

Sebagai salah seorang arkitek terpenting pada abad ke-20, sikap dan keberanian Kahn untuk menongkah arus dunia seni bina dengan menggabungkan elemen-elemen modernisme ke dalam prinsip monumental purba berhasil mencipta sesuatu yang sangat “cool” pada manusia.

“Cool” kalau diterjemahkan ke bahasa kebangsaan memang tidak nampak atau dapat dirasa “kehebatannya”. Sepertimana yang perdana menteri itu percaya, bahasa Melayu tidak akan dapat memandaikan atau mencelikkan anak-anak kita dalam bidang sains dan matematik.

Dalam karya besar Pramoedya Ananta Toer yang berjudul Bumi Manusia, dia ada menuliskan: “Apakah guna sekolah-sekolah didirikan kalau toh tak dapat mengajarkan mana hak mana tidak, mana benar dan mana tidak?”

Apabila itu terjadi dan berleluasa, di manakah “cool-nya" sekolah dan apakah “hebatnya” duduk dan belajar di dalam ruang-ruang di sekolah?

Louis Kahn

Sains pemikiran Pram dan Kahn membawa mereka menghasilkan rumus matematik yang sama walaupun melalui bahasa yang berbeza. Mereka membicarakan tentang bagaimana manusia dan negara dibina. Mereka - Pram dan Kahn - bercerita tentang bagaimana harapan terlahir lalu manusia menakluk dunia dengan bersenjatakan kebijakan impian dan cita-cita.

Perdana menteri itu harus sedar bahawa sesebuah tamadun bermula dengan harapan dan cita-cita. Ia kemudian berkembang menjadi bangsa yang belajar bahasa, tulisan, sastera serta budaya yang bergila-gila mahu memajukan sains dan matematik demi cita-cita yang mereka ada.

Tulisan ini mahu membawa apa yang Kahn dan Pram kata melalui satu watak bernama William Miller.

Jiwa rock bukan biasa-biasa

Kurang lebih 20 tahun dulu, Cameron Crowe menghasilkan sebuah filem period berjudul Almost Famous. Ia sebuah karya lucu dan menyentuh jiwa serta memahamkan kita tentang apa itu “cool” yang sebenarnya.

Dalam Almost Famous, Crowe menampilkan William Miller sebagai anak kepada seorang pensyarah universiti yang juga janda beranak dua, Elaine.

Elaine gigih dalam tegas mendidik Miller dan kakaknya Anita daripada ancaman budaya pop dan muzik rock & roll yang dianggap ibu pintar itu sebagai bahaya.

Walaupun masih terlalu remaja, Miller punyai bakat menulis dengan jiwa rock yang bukan biasa-biasa. Lagu-lagu yang didengari dari piring hitam yang dihadiahkan Anita menjadikan dia terinspirasi untuk menjadi seorang wartawan yang bekerja dengan majalah-majalah rock ternama.

Katalis kisah Miller dalam Almost Famous bermula apabila dia bertemu dengan Lester, seorang pengkritik muzik yang tertarik dengan tulisan-tulisannya.

Lester kemudian mengupah Miller untuk menulis ulasan sebuah konsert untuk majalahnya. Dia juga mempertemukan Miller dengan kumpulan muzik Stillwater.

Kisah jerayawara Stillwater itulah kemudian menjadi bahan tulisan Miller yang diambil Lester untuk dijadikan laporan utama dan penghias muka depan majalah Rolling Stone.

Karektor Lester yang sengaja diperagakan sebagai seorang yang rapuh, kalah dan kecewa sebenarnya adalah sains dan matematik pemikiran Miller yang masih terlalu muda.

Lesterlah orang yang menyuluhkan jalan buat Miller serta mengajarkan dia bahawa tidak ada apa-apa makna jika sekolah didirikan tetapi gagal mengajarkan mana yang benar dan mana yang songsang.

Watak Lester - walaupun hanya dilihat hina, biasa dan hadir dalam cerita sekadar watak sampingan - namun membawa mesej berat, istimewa dan menjadi tunjang buat Miller.

Malah Lester adalah pelengkap yang sempurna bagi Miller mengenal realiti dunia rock yang baru dirasainya.

Kata Lester: "Because they make you feel cool. Hey, I met you. You are not cool. Because we are uncool. While women will always be a problem for guys like us... most of the great art in the world is about that very problem. Good looking people, they got no spine. Their art never lasts. They get the girls, but we’re smarter. Because great art is about guilt and longing and love disguised as sex, and sex disguised as love. Hey, let’s face it, you got a big head start. I’m always home. I’m uncool. The only true currency in this bankrupt world is what you share with someone else when you’re uncool.”

Dunia ini bukan hanya tentang sains dan matematik. Sebagaimana kata Kahn, anak-anak harus dibebaskan dengan harapan, impian dan cita-cita mereka.

Sementara masih kabur serta tidak mampu menjawab soalan Pram, kita hanya diam kaku membiarkan perdana menteri melakukan sesuatu yang sangat tidak “cool”.

Kita enggan menjadi Miller yang berusaha belajar dan cuba memahami apa itu “cool” sehingga pada hujungnya dia juga tahu apa yang tidak “cool”.


HARIS HAUZAH ialah lelaki yang tidak cool tapi percaya menulis mampu membantu orang lain untuk berjaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS