Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Seboleh-bolehnya, Leina Hangat memang enggan mengenangkan dirinya yang tampil begitu seksi suatu ketika dulu. Tapi tidak banyak pilihan yang ada untuk penyanyi Ceria Dalam Gundah itu.

Penyanyi yang terkenal pada era 1990-an itu berkata, dia memang sangat malu apabila mengenangkan dirinya suatu ketika dulu - ketika dirinya selalu muncul dengan gaya pakaian yang selalu di luar jangka.

"Kalau saya kena kenalkan diri bahawa dulu saya ialah Leina Hangat, demi Allah, saya memang teramat malu," katanya.

Malah menurut Leina, kalau dia terjumpa gambar-gambarnya dulu - pada waktu yang digelarnya sebagai 'zaman jahiliah' - dia juga akan tersentak.

"Saya akan tertanya-tanya: ya Allah, ke mana perginya iman aku masa tu?” katanya.

Liena ditemui pada majlis pelancaran koleksi jubah dan pakaian patuh syariah, Munawwareen 2020, di Kuala Lumpur hari ini.

Seperti nama pentasnya, Leina Hangat memang hampir tidak pernah lekang daripada kontroversi. Bukan setakat imej mencolok mata yang ada padanya, dia juga terkenal dengan aksi beraninya sewaktu menghiburkan penonton.

Bapa sempat tengok

Namun, Leina mengambil keputusan untuk menukar penampilannya pada 2010. Sejak itu dia hadir dengan bertudung.

Penghibur yang memiliki nama sebenar Nor Azlina Abdul Rahman itu menganggap langkah berkenaan sebagai "kembali kepada fitrah."

“Kalau saya tak jadi jahat dulu, mungkin saya tak akan berubah seperti sekarang. Apabila sampai waktunya, kita akan kembali pada fitrah," katanya.

Pada masa sama Leina mengakui dia masih menyimpan baju-baju seksi yang pernah diperagakannya.

Menceritakan bagaimana dia berubah, Leina berkata, sebelum ini apa yang didepaninya adalah dilema - sama ada mahu melangkah ke depan dengan episod baru, atau mundur.

"Tapi kemudian apabila rajin solat, hati jadi tenang, walaupun kalau pada masa tu dalam poket saya hanya ada RM10,” katanya.

Dia lebih bersyukur kerana ‘hidayah’ yang diterimanya itu hadir ketika arwah bapanya, Abdul Rahman Ahmad, masih ada.

“Allah bagi saya apa yang tak semua manusia lain akan dapat, iaitu hidayah. Alhamdulillah, sebelum bapa meninggal dia sempat tengok saya kembali ke jalan yang benar,” katanya.

Bagaimanapun, Leina menafikan keputusan untuk menutup kepala itu diambil disebabkan dia terkena buatan orang.

“Tak adalah. Saya bukan sakit,” katanya.

Sementara itu, mengulas kewajaran untuk kekal dengan nama Leina Hangat biarpun imejnya sekarang sudah berubah, dia berkata, ia hanya sekadar panggilan bagi memudahkan peminat mengingatinya.

Penyanyi - yang juga popular dengan lagu Gara-Gara - itu berkata, bukannya dia tidak pernah memperkenalkan diri dengan menggunakan nama asalnya sejak bertudung, tetapi nama Leina Hangat didapati lebih dekat di hati peminat.

“Jika saya sebut (perkenalkan diri) dengan nama asal, Azlina Abdul Rahman, orang akan tertanya-tanya siapa saya.

“Tapi nak buat macam mana, dah memang nama itulah (Leina Hangat) peminat mudah ingat,” katanya.

Lihat Komen
ADS