Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Selepas dihadapkan atas tiga pertuduhan di mahkamah berbeza semalam, pihak pengurusan Universal Music Malaysia (Universal Malaysia) berharap orang ramai khususnya peminat terus mendoakan Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful supaya diberikan kekuatan berdepan dugaan tersebut.

Menurut pengurusnya, Mohd Aizat Jaafar, dia yakin, pada saat begini Syed Shah atau dikenali sebagai Dai Syed amat memerlukan sokongan daripada mereka yang mengenalinya sebelum ini.

“Saya baru secara rasmi uruskan dia. Tapi saya akan membantu dan tanamkan dalam diri yang dia perlukan kawan-kawan untuk sokong dia.

“Dan ramai juga kawan-kawan dia tampil pada saat begini. Saya sebagai pengurusnya amat terharu dengan sokongan diberikan walaupun ketika ini ramai netizen sedang mengecam Syed Shah.

“Kita mohon doa rakan-rakan di luar sana,” katanya kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.

Jelas Mohd Aizat, Syed Shah, 25, juga dilihat berada dalam kesihatan yang baik selain dia nampak kuat semangat.

Semalam, peserta bekas program berunsur keagamaan itu terpaksa bermalam tiga hari di pusat tahanan sementara Beranang, Selangor selepas pihak penjamin gagal membuat bayaran gara-gara kekangan waktu.

Syed Shah yang juga pelakon itu dihadapkan di tiga mahkamah berbeza atas tiga pertuduhan iaitu melakukan seks luar tabii, cabul dan rogol.

Untuk rekod, sebelum ini Malaysiakini menyiarkan Syed Shah baru dilamar untuk menjadi penyanyi di bawah Universal Malaysia kira-kira dua bulan lalu.

Mengulas perjalanan kerjaya Syed Shah yang baru hendak bermula itu, Mohd Aizat berkata, sememangnya apa yang berlaku menjejaskan kredibiliti Syed Shah sebagai figura awam.

“Memang akan beri impak. Bagaimanapun perkara ini masih dalam siasatan dan kita juga tak tahu apa keputusannya atau apa kemungkinannya selepas ini,” katanya.

Mohd Aizat juga berkata, syarikat rakaman masih meneliti keputusan terbabit dan berkemungkinan perjalanan kerjaya Syed Shah tidak akan berakhir begitu saja.

“Untuk karier kita akan buat yang terbaik, bukan berhenti setakat tu saja. Insya-Allah akan ada tindakan lanjut. Cuma buat sekarang syarikat masih memantau.

“Dan kami pun tak boleh ulas lanjut hingga kes betul-betul selesai. Yang pasti, perjalanan kariernya terpaksa ditangguh dulu walaupun dia baru saja tanda tangan kontrak dengan Universal,” katanya.

Lihat Komen
ADS