Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Neelofa, suami sudah beri keterangan pada polis
Diterbitkan:  Apr 6, 2021 2:19 PM
Dikemaskini: 6:19 AM

Polis mengesahkan mereka sudah merekod keterangan daripada pasangan selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Haris Ismail semalam.

Ketua polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata Neelofa dan Haris atau PU Riz itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira jam 6 petang.

“Rakaman percakapan terhadap kedua-duanya berlangsung kira-kira sejam, mereka dibenarkan pulang sebaik Pegawai Penyiasat (IO) berpuas hati dengan keterangan yang diberi,” katanya dipetik Kosmo! hari ini.

Menurut Mohamad Zainal, pasangan pengantin baru itu hadir bagi membantu siasatan berkenaan dua kes.

“Pertama, membabitkan dakwaan menyalahgunakan borang Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk merentas negeri bagi tujuan berbulan madu di Pulau Langkawi.

“Kedua, berkenaan majlis pernikahan mereka di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Jelas Mohamad Zainal lagi, beberapa orang saksi lain akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Terdahulu, tular di Internet imej sekitar majlis pernikahan Neelofa dan Haris yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu.

Majlis yang turut dihadiri orang kenamaan dan menteri itu didakwa tidak mematuhi SOP.

Kemudian, tular pula imej pasangan terbabit berada di Pulau Langkawi diiringi tuduhan mereka merentas negeri untuk berbulan madu.

Bagaimanapun, syarikat produk mewakili perjalanan mereka ke sana mendakwa, Neelofa dan Haris hanya memenuhi undangan tugasan yang diberikan bersama tiga lagi pekerja.

Neelofa pula dalam satu majlis semalam meminta dia diberikan ruang untuk menyelesaikan isu terbabit secara profesional

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata sekiranya sisasatan polis mendapati kunjungan Neelofa dan Haris melanggar SOP PKPB, mereka berdua akan dikenakan kompaun.  

Lihat Komen
ADS