Paling Popular
Terkini

TRAVELOG Selain pentingkan ilmu, masyarakat Syria juga sangat menghormati golongan yang berilmu. Dalam kalangan ulama mereka akan diberi penghormatan sebaiknya.

Pernah satu ketika Masjid Abu Nur mengadakan satu persidangan dan majlis zikir bersama ulama dari pelbagai negara. Selain perwakilan dari Syria, ada juga yang datang dari Sudan, Maghribi, Lubnan dan lain-lain negara.

Kebetulan universiti ini mengadakan hubungan secara langsung dengan keempat-empat negara.

Kebiasaannya, ulama Damsyik memakai kopiah keras dengan serban dililit kemas sekeliling kopiah dan tidak berekor seperti kebiasaan di tempat kita.

Serban dan kopiah ini disiapkan di kedai khas yang perlu ditempah. Bukanlah boleh kita lilit dan buka setiap hari. Ada mesin khas yang digunakan untuk melilit serban tersebut pada kopiah khas.

Majoriti ulama memakai serban jenis ini, kecuali beberapa orang seperti Sheikh Butti dengan kopiah merahnya, anaknya Dr Taufiq dengan songkok Melayunya dan juga Sheikh Yaa’kubi dengan serban berekor seperti kebiasaan di Malaysia.

Inside Umayyad Mosque, Damascus

Apabila masuk ke perkarangan masjid, kesemua ulama ini akan dialu-alukan dan diiring masuk ke depan berdekatan pentas masjid. Hari itu saya memakai jubah kelabu dan kopiah ‘Bukit Mertajam’. Kopiah keras yang popular di Malaysia itu menyerupai kopiah keras ulama Syria.

Kini pengeluar kopiah tersebut bukan sahaja di Bukit Mertajam tetapi juga di Pendang, Kuala Lumpur, malah pengusaha China pun mengeluarkan kopiah tersebut.

Apabila melangkah masuk ke pintu masjid, saya disambut oleh beberapa orang petugas. Saya berasa tidak selesa namun tetap meraikan mereka. Mereka mempersilakan saya ke depan. Saya menolak.

Saya memberitahu mereka saya orang biasa sahaja. Cukuplah saya duduk di belakang. Kebetulan hajat saya hanya ingin duduk sebentar sahaja dalam majlis itu, kemudian hendak ke tempat lain. Namun mereka berkeras mahu saya ke depan. Terus beberapa petugas ini mengiringi saya ke depan.

Mungkin mereka menyangka saya salah seorang ulama jemputan. Semuanya berpunca daripada kopiah. Peristiwa ini agak melucukan. Orang yang tidak layak, malah terlalu sedikit ilmunya jika hendak dibandingkan dengan mereka, diletakkan sebaris dengan ulama lain.

Duduk beberapa ketika, kemudian saya bangun secara senyap-senyap untuk duduk di belakang, tempat selayaknya untuk saya. Pokoknya itulah gambaran tingginya penghormatan mereka kepada para ilmuan.

Kuliah ilmu di Syria dihadiri pendengarnya yang sangat ramai. Berbeza dengan kuliah maghrib di negara-negara lain.

Jika ke kuliah mingguan Sheikh Said Ramadhan Al Butti di Jame’ Iman setiap hari Isnin, masjid yang boleh memuatkan 2,000 hingga 3,000 jemaah itu akan penuh dengan hadirin. Begitu juga dengan kuliah mingguan selepas Asar oleh Sheikh Rejab Deeb, ruangan dalam masjid penuh dengan manusia.

Satu lagi kebiasaan orang Syria ialah menyertai kumpulan tariqat. Jika di negara kita, ia suatu yang ganjil dan hanya disertai oleh golongan tertentu sahaja.

Tambahan pula kumpulan tariqat diberi imej negatif disebabkan sebahagiannya mengamalkan secara bertentangan dengan agama dan diisytiharkan sesat oleh majlis fatwa.

Maka apabila disebut sahaja tariqat, ramai yang bersikap negatif terhadapnya, sedangkan tariqat adalah perkumpulan tasawuf untuk mendekatkan diri dengan Allah dan membersihkan jiwa dengan amalan zikir tertentu.

Antara tariqat yang masyhur di Syria ialah Tariqat Syaziliyah dan Tariqat Naqsyabandi. Peserta Tariqat Syaziliah biasanya berzikir secara kuat dan Tariqat Syaziliah berzikir secara perlahan. Masjid akan mengadakan majlis zikir pada hari-hari tertentu.

Misalnya Jame’ Mahyudin Ibnu Arabi mengadakan majlis zikirnya setiap pagi Jumaat. Antara masjid yang pernah kami hadiri majlis zikirnya ialah Jame’ Sadat dan Jame’ Taubah di tengah bandar Damsyik.

Di Jame’ Sadat ada Sheikh Tariqat Syaziliah bernama Sheikh Soleh Al Hamawi. Beliau telah meninggal dunia beberapa tahun selepas kami pulang ke Malaysia.

Di Jame’ Taubah adanya Sheikh Hisham Borhani dan salah seorang Sheikhul Qurra’ yang diiktiraf dunia. Asasnya, ia suatu amalan yang baik yang menjadi kebiasaan masyarakat di Syria.

 


 

MOHD NASAIE ISMAIL berkongsi pengalamannya di bumi Rasulullah ini melalui buku 'Travelog Kembara Cinta di Syria'.

Beliau antara lainnya merakam cara hidup masyarakat di sana yang sentiasa hidup dalam ketakutan akibat kegiatan pengintip kerajaan dan juga bencana rasuah.

Di sebalik latar itu, warga Syria tetap suka membantu, bersedekah, mesra tetamu dan bersikap sopan santun.

Penulis turut mencatat pengalamannya mengembara di Mesir, Yaman, Turki dan Kazakhstan.

Pesanan buku melalui laman Facebook: Kembara Cinta di Syria

Sedutan bahagian terdahulu:

Syeikh Butti yang tepat saat

Syeikh Butti bukan pengampu Bashar

Bashar kejam? Bapa Bashar lebih zalim

Gugurnya Asma' di Dataran Rubu'ah

Ketakutan, waspada pemerintah Syria

Mengapa anak muda Syria berlumba ke masjid

Masjid atau gereja? Bezanya pada menara

Runtuhan di Syria saksi keagungan Islam

Arab Syria pentingkan ilmu

Penembak tepat kawal persidangan isu arak

Kisah orang Kazakhstan rebus bayi

Sukarnya membangun Kazakhstan

Lihat Komen
ADS