Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Saya amat tertarik untuk memberi maklum balas berkenaan Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada 28 Mac yang bersetuju memberi mandat kepada presiden dan Majlis Tertinggi untuk menentukan jeda masa Umno menarik balik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN), selain memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dan PN dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dengan itu bergema suara pemimpin Umno meminta menteri dan timbalan-timbalan menteri meletakkan jawatan dalam kabinet PN. Begitu juga dengan jawatan pengerusi dan anggota lembaga pengarah (ALP) badan berkanun kerajaan bagi disesuaikan dengan keputusan PAU.

Gesaan agar menteri dan timbalan menteri Umno untuk meletakkan jawatan serta kecaman kepada mereka kerana gagal berbuat demikian, merupakan tindakan yang sangat tidak waras. Ia akan menimbulkan banyak implikasi negatif kepada negara keseluruhan.

Sudah lebih setahun negara berhadapan dengan wabak Covid-19 yang memberi kesan besar terhadap ekonomi rakyat. Walaupun begitu, masih ada segelintir ahli politik yang masih berpolitik tanpa mengira kesusahan rakyat di bawah.

Apa salahnya jika ahli-ahli parlimen bersatu hati menyokong kerajaan pada hari ini sehingga kita dapat menangani masalah Covid-19 ini dengan baik. Apa yang lebih penting sekarang adalah kebajikan rakyat dan peluang ekonomi yang harus dibuka bagi membantu bukan sahaja anak-anak muda bahkan golongan B40 yang teruk terjejas.

Gambar hiasan

Melalui artikel-artikel sebelum ini, saya memberi nasihat berkaitan kepentingan ahli-ahli politik Melayu dan Islam bersatu, terutama bawah pembentukan kerajaan PN yang merupakan gabungan dan sokongan Umno, Bersatu dan PAS.

Sejak dulu lagi saya sudah nyatakan jika orang Melayu berpecah maka politik Melayu juga akan berpecah. Sudah pasti kuasa politik yang sepatutnya dimiliki oleh orang Melayu selaku rakyat majoriti tidak akan sepenuhnya dapat digunakan dengan sebaiknya untuk survival mereka di negara ini.

Pemimpin dan ahli Umno harus sedar bahawa tanpa pembentukan kerajaan PN, kita mungkin masih bergelar pembangkang dan tidak akan memimpin semula negara ini seperti sekarang. Walaupun tidak menjadi perdana menteri, kita daripada Umno memiliki sejumlah besar menteri - sembilan orang - yang berperanan penting dalam mencorakkan hala tuju negara.

Sepatutnya kita daripada Umno bersyukur kerana doa kita untuk kembali memimpin negara setelah pemerintahan PH selama 22 bulan - yang memberi pengalaman amat perit bukan sahaja kepada orang Melayu-Islam tetapi juga merosakkan ekonomi, politik dan kestabilan hubungan kaum - dimakbulkan ilahi, berkat kesedaran rakan-rakan kita daripada Bersatu terhadap kebejatan DAP.

Peranan penting menteri Umno

Lebih penting lagi, ahli-ahli parlimen kita daripada Umno diberikan peranan penting memerangi Covid-19 melalui tanggungjawab besar Ismail Sabri Yaakob (menteri kanan keselamatan), Dr Adham Baba (kesihatan) dan Khairy Jamaluddin (sains, teknologi dan inovasi). Begitu jugalah dengan menteri lain yang semuanya mempunyai peranan besar dalam pemerintahan negara.

Siapa berani menyatakan portfolio yang diberikan kepada Hishammuddin Hussein (menteri luar), Noraini Ahmad (pengajian tinggi), Dr Shamsul Anuar Nasarah (tenaga dan sumber asli), Reezal Merican Naina Merican (belia dan sukan), Annuar Musa (Wilayah Persekutuan) dan Halimah Mohamed Sadique (perpaduan) sebagai tidak penting? Pasti tidak ada.

Walaupun kita harus berpijak di bumi yang nyata, namun hari ini Umno bukan lagi mempunyai majoriti malah tidak lagi berkuasa seperti dahulu. Jangan kerana ego dan kepentingan sesetengah individu menyebabkan Umno dijadikan mangsa.

Jika ego dan kepentingan diri begini wujud dalam Umno, kesannya sudah pasti rakyat dan negara akan tergadai semula ke tangan individu yang tidak bertanggungjawab, sama seperti PH yang memerintah selama 22 bulan.

Saya sekali lagi menyeru semua pemimpin politik untuk terus bersatu dan menyokong kepimpinan negara di kala rakyat berdepan dengan pelbagai masalah dan cabaran. Diminta agar semua pihak untuk melupakan seketika sengketa politik dan janganlah semata-mata meletakkan kepentingan diri sebagai perjuangan utama.

Selepas krisis Covid-19 selesai, saya pasti rakyat akan merasa berterima kasih dan berbangga atas segala yang kita lakukan pada hari ini, yang akan dikenang sebagai pengorbanan kita nantinya.

Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pemimpin-pemimpin Umno yang berada dalam kerajaan yang akan tetap menjalankan tugas seperti biasa serta tidak menghiraukan tekanan kepada mereka.

Ahmad Maslan

Akhir sekali saya amat mengharapkan agar pemilihan parti dapat diadakan dengan kadar segera agar kemelut dan perpecahan dalaman parti dapat dielakkan selaras dengan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, pada 18 Januari bahawa presiden Umno bersetuju agar pemilihan Umno diteruskan di semua peringkat seperti yang dijadualkan pada 2021 ini.

Pada masa sama, saya berpendapat kemunculan audio rakaman yang menunjukkan pelanggaran luar biasa seseorang yang suaranya menyerupai suara pemimpin tertinggi Umno ke atas keputusan Majlis Tertinggi dan ketetapan PAU baru-baru ini memungkinkan perhimpunan agung luar biasa (EGM) perlu dipanggil segera untuk membolehkan keputusan lebih tuntas dan jelas ke atas hala tuju parti dibincang dan diterima oleh majoriti ahli dan pemimpin Umno.


Baca:


PROFESOR EMERITUS DR IBRAHIM SHAH ABU SHAH adalah Pengerusi Yayasan Minda dan Penasihat Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS