Malaysiakini BERITA

MB: Biar penduduk Memali ambil tindakan pada Kosmo!

Abdul Rahim Sabri & Jimadie Shah Othman  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

kemaskini 5.53pm Menteri besar Kedah menyerahkan isu tuduhan ajaran sesat dalam Kosmo! kepada penduduk Kampung Memali untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada akhbar tersebut.

"Mungkin mereka akan mengambil tindakan undang-undang kerana menyamakan kes Memali dengan ajaran sesat. Ia merupakan satu perkara yang tidak betul dan perkara itu sudah selesai," kata Datuk Seri Azizan Abdul Razak

penang kedah timber logging azizan abdul razak 310708 03 "Biarlah orang Memali mengambil tindakan yang wajar kepada mereka," katanya, sambil menambah beliau sendiri mengetahui kontroversi ini selepas dimaklumkan oleh penduduk kampung terbabit.

"Kalau (di) Memali itu ajaran sesat, bagaimana (Sultan Kedah) Sultan Abdul Halim sendiri menziarahi pusara Ibrahim Mahmud dan kawannya di Parit Panjang (di Baling)?"

Beliau mengadakan sidang media di Kuala Lumpur petang ini selepas mempengerusikan mesyuarat kerajaan Kedah di pejabat Kedah Business Centre di ibu negara.

Azizan, yang juga pesuruhjaya PAS Kedah, berkata isu Memali selesai sejak 24 tahun lalu dan mempersoalkan kewajaran tragedi berdarah yang mengorbankan 14 orang itu ditimbulkan semula.

Ditanya tindakan PAS Kedah berhubung itu tersebut, Azizan berkata: "Memali jangan dikaitkan dengan PAS. Kebetulan mereka (ini) ahli PAS, tapi perjuangan mereka bukan perjuangan PAS."

"Perjuangan (yang menyebabkan) peristiwa Memali bukan perjuangan PAS tetapi mereka adalah sebahagian daripada ahli PAS," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Pemuda PAS hari ini turut menyerahkan memorandum kepada akhbar itu sebagai tanda bantahan mereka.

Dalam memorandum yang diserahkan ketuanya Nasrudin Hassan, dewan itu antaranya mendakwa tulisan itu "jelas berunsur fitnah yang melampau dan berniat jahat terhadap PAS".

Sehubungan itu, mereka mendesak Kosmo! menarik balik artikel tersebut dan membuat permohonan maaf terbuka kepada PAS dan keluarga yang terlibat dalam peristiwa berdarah, penghujung 1985.

"Kita beri mereka satu, dua hari (untuk memohon maaf) sebelum memfailkan saman di mahkamah," katanya kepada Malaysiakini .

Dalam kunjungan tengah hari tadi, Nasrudin berkata rombongan beliau disambut pengarangnya Baharom Mahusin yang menurutnya berjanji akan menimbulkan perkara itu kepada "pihak atasan" penerbitnya kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd.

NONE Sementara itu, PAS Baling turut mendesak akhbar itu menarik balik artikel 'Jangan Pandang Rendah Ajaran Sesat'.

Ketua penerangannya Mat Juki Ahamad juga mendesak harian itu memohon maaf berhubung penyiaran artikel kelmarin.

"Mereka menulis dengan mengaitkan (allahyarham) Ustaz Ibrahim (Mahmud) dengan ajaran sesat dalam peristiwa Memali.

"Perkara ini sudah lama selesai, kerajaan sudah bayar pampasan, tiba-tiba mereka mengingatkan semula," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Selain PAS kawasan itu, aduan polis turut dibuat oleh balu Ibrahim, penceramah PAS yang lantang dan juga bekas seorang pegawai agama di Jabatan Perdana Menteri.

Aduan polis tersebut dibuat di balai polis Baling, kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Mat Juki, yang juga pengetua sekolah yang diasaskan oleh allahyarham, turut menggesa akhbar tersebut mendapatkan maklumat perinci mengenai tragedi itu yang mengorbankan 14 orang pada penghujung 1985.

"Kalau ajaran sesat takkan (Sultan Kedah) Sultan Abdul Halim, sebagai ketua agama Islam di Kedah mahu mencemar duli datang menyiram air mawar (di kuburan Ibrahim dan pengikutnya).

"Ini bermakna allahyarham (Ibrahim) tak sesat," katanya.