Datuk Seri Dr Khir Toyo berkata beliau tidak lagi berminat untuk kembali menjadi menteri besar Selangor. Sebaliknya beliau menyarankan supaya jawatan berkenaan diserahkan kepada pemimpin yang lebih layak di kalangan BN, sekiranya mereka berjaya merampas semula negeri itu.

NONE Khir memberi alasan, beliau tidak mahu mewarisi masalah-masalah yang berlaku di negeri itu selepas Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan di Selangor.

Masalah ini “sangat teruk” dan tidak dapat dipulihkan dalam jangka masa singkat, katanya.

“Untuk dapatkan semula kita punya pentadbiran akan jadi sukar dalam keadaan sekarang. Ekonomi teruk, pembangunan tak berlaku dengan baik,” katanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Katanya lagi, beliau sememangnya tidak ada masalah untuk kembali menerajui negeri itu berdasarkan pengalamannya.

“Saya ingat bila saya masuk kerajaan negeri sangat teruk. Rizab (kewangan) tinggal RM200 juta. Semua (syarikat berkaitan kerajaan) GLC rugi. Saya berjaya menyelamatkan beberapa (syarikat). Pengalaman itu boleh bagitau orang lain, tak ada masalah,” katanya.

Semuanya skeptis

Katanya, tumpuan harus diberikan kepada timbalan pengerusi Umno Selangor Datuk Noh Omar dan juga bekas pemimpin PKR Senator Ezam Mohd Nor dalam usaha merampas semula negeri itu.

NONE “(Pengikut saya) akan sedar bahawa dalam BN ini bukan ada seorang saja (pemimpin). Ramai lagi. Kita akan latih, akan didik pemimpin (lain),” katanya lagi.

Khir yang sebelum ini dilantik menteri besar pada usia 33 tahun itu berkata ramai pemimpin lain yang berkemampuan dan perlu diberi peluang seperti mana yang dinikmatinya sebelum ini.

“Masa saya jadi MB semuanya skeptis (bahawa) saya tidak dapat menjalankan tugas. Orang kata saya hanya akan jadi MB enam bulan saya, tapi saya bertahan selama lapan tahun,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Khir berkata beliau berasa bersalah dan bertanggungjawab atas kekalahan BN pada Mac 2008. Itulah yang menyebabkannya lebih menumpukan tugas sebagai wakil rakyat yang terabai sejak sekian lama.

“Bila kerajaan negeri jatuh, tentulah saya berasa bersalah. Tanggungjawab itu ada pada diri saya. Saya berjumpa dengan Datuk Seri Najib berkata saya tak nak tanggungjwab besar dan ingin dekatkan diri dengan penyokong-penyokong saya di kawasan.

NONE “Bila saya jadi MB, saya jadi ADUN (selama) lapan bulan sahaja. Saya tak rapat dengan pengundi di kawasan. Saya rasa bersalah juga. Jadi tebus balik kesalahan saya. Dulu masa terbuang dekat kerajaan negeri sahaja. Jarang balik -- sebulan dua tiga kali sahaja. Balik pun tak lama.

“Rakyat merungut, nak jumpa wakil rakyat susah. Jadi saya ambil keputusan untuk mendekati mereka. Saya sangat gembira sekarang kerana saya boleh memahami masalah di peringkat akar umbi.

Ikut belakang

Tambahnya lagi, itulah juga juga menyebabkan beliau tidak meletakkan dirinya di barisan hadapan dalam kempen ‘Selamatkan Selangor’ yang dicanang sebagai kempen untuk merampas negeri itu kembali kepada BN.

NONE “Bagilah orang lain ketuai, saya ikut daripada belakang saja,” katanya yang tidak merasakan bahawa dirinya dipinggirkan daripada menyertai program berkenaan.

Menjawab spekulasi berhubung ketidakhadirannya pada peringkat awal program berkenaan, Khir berkata beliau sememangnya dijemput untuk menyertai kempen itu.

“Kadang-kadang seminggu, dua minggu awal (jemputan). Tapi saya ada komitmen. Terus-terang saya katakan kalau ada program di bahagian, saya utamakan bahagian,” katanya lagi.

Khir turut menafikan tanggapan bahawa beliau merupakan satu liabiliti kepada BN memandangkan beliau masih berpengaruh di kalangan masyarakat.

“Bukan liabiliti. Saya tidak rasa begitu. Saya pergi ceramah pun orang masih dengar,” katanya dan menambah kerajaan Pakatan Selangor tidak perlu mengancam untuk mendedahkan isu-isu berkaitan dirinya sekiranya beliau merupakan satu bebanan kepada BN.

Politik budak-budak

“Kita bukan menyerang kerajaan negeri sebab hendak cari kelemahan, kita cuma buat teguran. Kalau dulu BN dianggap kerajaan yang angkuh, tidak dengar teguran saya ingat hari ini lagi teruk.

“Siapa tegur diancam, kita akan dedahkan macam-macam, macam politik budak-budak. Ini politik mafia. Saya nak tegur kerana pengalaman saya yang kita telah laksanakan dan kesilapan yang perlu diperbetulkan dan tidak diulangi,” katanya.

NONE Khir juga berkata, beliau kini bukan siapa-siapa lagi di negeri itu, namun beliau tidak mahu dikatakan sebagai orang yang lupa kepada parti.

Beliau kini meletakkan nasibnya di tangan pemimpin parti, sama ada untuk bertanding di peringkat parlimen pada pilihan raya akan datang.

"Saya akan bersama dengan parti sampai bila-bila. Saya akan berkhidmat dengan baik kepada parti dan pemimpin.

"Saya tak ada masalah (jadi pemimpin biasa) sebab saya selalu beritahu diri saya satu hari saya akan turun. Jawatan ini takkan selama-lamanya.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS