Akhirnya, bangunan baru kuil Hindu-Taoist diluluskan
Ketika pilihan raya kecil DUN Merlimau hendak diadakan Februari
lalu, ahli jawatankuasa kuil Hindu-Taoist di Kampung Simpang Kerayong, sudah hampir putus asa.
Tetapi kedatangan pilihan raya kecil itu, turut membawa satu sinar harapan dan masalahnya mendapat perhatian pihak media.
Diwujudkan kira-kira 40 tahun lalu, kuil tersebut terletak atas tanah persendirian di sempadan kawasan pilihan raya Merlimau dan Rim.
Rancangan untuk membina sebuah bangunan yang lebih sesuai untuk menampung bilangan besar penganut yang datang untuk perayaan keagamaanm bagaimanapun, telah ditangguhkan.
Ianya ekoran bantahan Umno bahagian dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), yang mendakwa mewakili hampir keseluruhan masyarakat Melayu.
Selepas masalah mereka dipaparkan oleh pihak media, akhirnya bangunan kuil itu diluluskan untuk pembinaan di atas tapaknya sekarang.
Menurut ahli jawatankuasa kuil tersebut, N Ganesan, kelulusan diterima pada 29 Mac melalui satu panggilan telefon dari exco kerajaan negeri Melaka, R Perumal.
"Sebahagian daripada kami telah bertemu dengan Perumal pada 27 Mac, dan membincangkan perkara tersebut. Arkitek kami juga telah bertemu beberapa pegawai sebelumnya.
“Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut melawat tapaknya, dan kami difahamkan kelulusan diberikan selepas campurtangan beliau," kata Ganesan ketika dihubungi.
Perumal, ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu.
Bagaimanapun, menurut arkitek projek tersebut, A Sundran, surat kelulusan rasmi belum dikeluarkan, dan ini dijangka menimbulkan masalah untuk mendapatkan permit pembinaan.
Ganesan berkata, pihak kuil telah menghubungi Perumal mengenainya, dan telah diberitahu supaya bersabar.

