Pemandu teksi, Puteri Umno bantah demo jalanan
Kira-kira 200 pemandu teksi dan 100 Puteri Umno Malaysia hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung penganjuran "demonstrasi jalanan" pada 9 Julai ini.
Memorandum bantahan tersebut diserahkan kepada wakil khas menteri dalam negeri, Datuk Ab Hamid Mohd Nazahar di anjung pintu masuk Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara pagi ini.
Memorandum itu disampaikan oleh pengerusi Persatuan Teksi Eksekutif Malaysia, Azmi Mohd Yatim mewakili persatuan teksi.
Manakala Ketua Puteri Umno yang juga timbalan menteri kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mewakili Puteri Umno.
Turut hadir ialah presiden Pertubuhan Teksi, Limosin, dan Kereta Sewa Malaysia, Yusof Lahir.
Dalam sidang media selepas majlis pelancaran 'Duta Mesra Rakyat dan Membantah Demonstrasi Jalanan', Rosnah meminta KDN "mengambil tindakan sekeras-kerasnya" terhadap "pihak yang menjadi pencetus" kepada demonstrasi jalanan.
"Kita tidak mahu imej diletakkan kepada negara kita sebagai negara yang kucar-kacir dan tidak berpihak dalam meja bulat.
"Kita ingin memastikan imej negara kita bersih... Pemimpin negera kita terbuka kepada perbincangan. Kita tidak mahu dimanipulasi sekadar untuk memenuhi tuntutan politik sesetengah pihak.
"Demonstrasi tidak baik kepada negara kita," katanya.
Menurut Rosnah lagi, Puteri Umno melahirkan rasa bimbang dengan penganjuran perhimpunan pada 9 Julai kerana boleh menjejaskan periuk nasi pemandu teksi dan perniaga, sekiranya berlakunya huru-hara pada hari tersebut.
"Kami melahirkan rasa tidak senang (dengan perhimpunan) yang dibuat ini, tidak membawa apa-apa manfaat.
"Saya selaku ketua puteri Umno ingin bertanya kepada pihak yang cuba mewujudkan (perhimpunan), apakah motif sebenarnya sekiranya mereka sayangkan negara dan rakyat," katanya.
Dalam sidang media yang sama, Azmi pula berkata demonstrasi tersebut akan menyukarkan pemandu teksi 'mencari makan'.
Katanya, pemandu teksi masih terasa kesan demonstrasi pada 1998 (era reformasi) dan perhimpunan BERSIH 1 pada 2007 di ibu negara.
"Cuba bayangkan, teksi bajet kena cari pendapatannya lebih kurang RM150 sehari. Teksi eksekutif pula pendapatnnya lebih kurang RM350 sehari.
"Kalau (pendapatan) sehari RM350, (nak) kena bayar dekat syarikat lagi, (kepada) bank. Kita ni kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya.
Sehubungan itu, pihaknya akan bersama mana-mana pihak termasuk NGO untuk menegakkan kebenaran dan menentang pihak yang mahu menghancurkan kemakmuran yang dinikmati.
Azmi juga berharap pemandu teksi yang lain tidak terikut-ikut dengan emosi dan hendaklah matang memikirkan soal 'periuk nasi' mereka.
Menceritakan pengalaman pemandu teksi pada 2007, Azmi mendakwa, rata-rata mereka tidak dapat masuk ke Kuala Lumpur, khususnya di Dataran Merdeka dan Jalan Tun Abdul Rahman, yang menjadi tumpuan pelancong.
Azmi berkata, persatuannya juga akan mengambil tindakan terhadap ahlinya sekiranya terlibat dalam perhimpunan haram.
Sementara itu, ketika ditemui Malaysiakini selepas sidang media tersebut, Rosnah berkata, sekiranya BERSIH 2.0 membatalkan hasrat untuk berhimpun, beliau yakin Pemuda Umno juga akan berbuat demikian.
"Kamu kena tengok apa yang mencetuskan Pemuda buat dahulu. Saya mempersoal balik, kenapa Pemuda nak buat (perhimpunan), kalau tidak dicetuskan oleh sesiapa.
"Pendekatan kami mungkin berbeza, tapi kita kena tengok kenapa objektif Pemuda Umno melakukan (perhimpunan).
"Kata kepada BERSIH, bubarkan, tak payah buat (perhimpunan), Pemuda Umno pun tak buat. Saya yakin," katanya.

