Pengerusi bersama BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata kewujudan lebih 3.1 juta pengundi berdaftar di kawasan yang berbeza daripada alamat di kad pengenalan merupakan perkara yang amat merisaukan.

Jumlah besar itu, kata Ambiga, menyalahi Perkara 119(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan seorang pengundi perlu menjadi penduduk dalam kawasan mengundinya.

 

NONE "Maklumat ini diserahkan kepada SPR oleh Jabatan Pendaftaran Negara pada tahun 2002 dan SPR (sehingga kini masih) tidak berbuat apa-apa dengannya," katanya dalam satu program debat dengan ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin di Petaling Jaya malam tadi.

Dalam hujahnya di program dihadiri kira-kira 600 orang itu, Ambiga menegaskan bahawa SPR hingga kini masih gagal membersihkan daftar pemilih.

Khairy dalam ucapannya kemudian tangkas menepis dakwaan tersebut yang disifatkannya membantutkan proses reformasi pilihan raya.

Beliau juga membangkitkan semula sejumlah lebih 42,000 pengundi yang didedahkan BERSIH sebelum ini.

Menurutnya, BERSIH memutarbelit fakta apabila melabelkan pengundi itu sebagai pengundi palsu sedangkan kumpulan itu merupakan pengundi yang diragui.

 

"Ambiga kata ia pengundi palsu dan SPR perlu guna kuasa mereka untuk mengeluarkan nama mereka dari daftar pemilih. Ini sebabnya mereka keluar ke jalan Sabtu ini," kata Khairy.

Pengundi perlu bukti

 

Khairy juga menggesa golongan yang disenarai sebagai pengundi meragukan itu supaya tampil bertemu SPR untuk menukar alamat mereka di dalam daftar pemilih, seperti yang dilakukan seramai 1,248 orang sebelum ini.

"Dalam masa tiga bulan 1,248 orang tampil ke hadapan dan 55 peratus mengakui bahawa mereka masih hidup," kata Khairy.

 

Katanya, sebarang pertukaran maklumat daftar pemilih hanya boleh dibuat apabila pemilih sendiri memaklumkan SPR.

 

Jelasnya lagi, tindakan mengeluarkan nama pemilih tanpa pengetahuan pengundi berkenaan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memelihara hak setiap warganegara untuk mengundi.

 

NONE Khairy turut mempertahankan penjelasan yang diberikan SPR berhubung data yang didedahkan oleh pengkaji Ong Kian Ming mengenai pengundi tentera yang diragui.

Ong mendedahkan bahawa data berkenaan diragui kerana rekod umur pengundi berkenaan melebihi had umur 30 tahun rekrut tentera.

Khairy sekadar menjelaskan bahawa anggota berkenaan didaftarkan dua kali kerana tidak memaklumkan kepada SPR bahawa mereka didaftar sebagai pengundi sebelum bertugas di dalam pasukan tentera.

Tambahnya, pengundi berkenaan bertanggungjawab untuk membuktikan perkara itu demi mempertahankan hak mereka sebagai pengundi.

"Beban pembuktian dalam sistem pilihan raya kita adalah kita perlu maklumkan SPR. Jika anda meninggal, saudara mara terdekat perlu maklumkan SPR.

"Jika anda tukar alamat kediaman, anda perlu maklumkan SPR," katanya. 

Dalam pusingan seterusnya, Ambiga bingkas menyerang semula dengan dakwaan bahawa SPR sendiri menyalahgunakan mekanisme tersebut.

Dakwannya, SPR tidak mengambil sebarang tindakan apabila timbul aduan berhubung kewujudan pengundi hantu.

Penyokong Khairy kuat sorak

"Mereka melanggar Perlembagaan apabila tambah pengundi hantu dan pendatang asing sesuka hati tetapi apabila perlu untuk membuang senarai nama yang meragukan, mereka bersopan-santun dan hormat Perlembagaan," katanya.

 

Tambahnya, Khairy juga hanya memilih untuk mendengar penjelasan SPR semata-mata, tetapi tidak mengambil serius pendedahan BERSIH berhubung daftar pemilih.

"Jangan pandang rendah pada angka-angka ini, jangan pandang rendah pada kajian ini. Kami adalah rakyat yang mahukan ahli parlimen kami meneliti semua isu yang kami bangkitkan," katanya dengan nada serius.

Ucapan Ambiga itu, walau menerima sokongan gamat oleh penyokong BERSIH yang hadir, diganggu beberapa kali oleh penyokong Khairy.

Kumpulan itu aktif menyorak Khairy dan turut melaungkan "Hidup KJ" beberapa kali selepas debat anjuran akhbar Malay Mail itu tamat.

Bagaimanapun, penyokong BERSIH diperhatikan lebih banyak mengajukan soalan berbanding penyokong Khairy.