Ahli majlis DAP gesa Datuk Bandar KL undur
Ahli-ahli majlis perbandaran Selangor dari DAP hari ini menggesa Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail meletak jawatan kerana gagal bertindak terhadap peniaga yang cuba menjaja di hadapan rumah Pengerusi BERSIH, Datuk Ambiga.
"Kami menggesa Datuk Bandar Kuala Lumpur meletak jawatan segera," kata ahli Majlis Perbandaran Kajang, Lee Kee Hiong yang mewakili 67 ahli majlis DAP dalam negeri Selangor.
Sebelum ini, Majlis Bertindak Peniaga-peniaga Kuala Lumpur (MBPKL) yang mendakwa mewakili peniaga kecil di Kuala Lumpur yang rugi pada himpunan BERSIH lalu bercadang membuka 60 gerai di hadapan rumah Ambiga sebagai tanda protes.
Mereka bertindak 'melelong' tapak-tapak gerai dengan harga bidaan paling tinggi bernilai RM5,000 untuk gerai yang terletak tepat di hadapan pagar rumah Ambiga.
Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Eric Tan berkata selain gagal bertindak terhadap kumpulan peniaga berkenaan, Ahmad Fuad melalui Dewan Bandaraya Kuala lumpur (DBKL) juga kelihatan memberikan layanan berbeza terhadap kumpulan itu dan perhimpunan BERSIH sebelum ini.
MenurutnyaDBKL mengambil langkah-langkah pencegahan menghalang BERSIH berlangsung dengan menutup Dataran Merdeka dan mengerahkan kira-kira 2,000 penguatkuasanya bertugas pada hari himpunan.
Sebaliknya, tambah Eric, kumpulan peniaga peniaga anti-BERSIH yang juga gagal mendapat kebenaran, tidak dicegah daripada melukis petak tapak gerai di hadapan rumah Ambiga.
"Kita lihat DBKL gagal mengambil langkah pencegahan dan polis juga nampaknya begitu senyap (dalam hal ini).
"Adakah pihak berkuasa ini akan bertindak terhadap mereka selepas ini? Kami sangsi (mereka akan bertindak)," katanya.
Justeru, mereka menggesa agar Ahmad Fuad meletak jawatan kerana 'gagal dan cuai' dalam bertindak terhadap kumpulan peniaga berkenaan.
Mereka turut menuntut kerajaan meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan supaya rakyat ibu kota memilih Datuk Bandar Kuala Lumpur yang "benar-benar mewakili hasrat mereka".

