dikemaskini 12.30pm ADUN Machang Bubok Datuk Tan Hock Leong meminta PKR memberi penjelasan lanjut berhubung perbincangan mengenai senarai calon untuk pilihan raya umum akan datang.
Tan berkata demikian apabila ditanya mengenai satu perbincangan melibatkan ketua PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman yang mencetuskan kontroversi apabila dibocorkan dalam blog gelagatanwar.wordpress.com.
Kandungan perbincangan itu antara lainnya mendakwa bahawa ADUN PKR itu akan diganti dengan calon lebih muda.
Dalam perbincangan yang dilihat amat fokus kepada faktor calon PKR dari kalangan Cina itu, Mansor didakwa menyatakan semua wakil rakyat lain akan dikekalkan melainkan Tan.
Padahal, beliau masih belum menerima makluman rasmi daripada Majlis Pimpinan Negeri mahupun daripada PKR pusat berhubung perkara itu, kata Tan, 57.
Tan menjelaskan usianya yang lanjut tidak akan boleh dijadikan alasan untuk menggugurkannya dalam pilihan raya akan datang.
"Jika apa yang disiarkan itu benar iaitu saya akan disingkirkan, dan jika keputusan telah dibuat, mereka mesti ada sebab (yang kukuh).
"Jika kerana usia lanjut, maka semua calon PKR (Pulau Pinang) selepas ini perlulah lebih muda daripada saya," katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengakui bahawa pernah diserang angin ahmar kecil namun menegaskan ia tidak mengganggu tugasnya sebagai ADUN dan juga timbalan speaker DUN Pulau Pinang.
"Saya menjalankan tugas saya. Saya hadir dan mempengerusikan sidang DUN, semua tanggungjawab saya, saya lunaskan.
"Satu-satunya perkara yang saya tak dapat lakukan adalah berlari. Saya rasa ADUN lain pun ramai yang sihat macam saya tapi tak boleh berlari," katanya sambil ketawa.
Tan juga yakin PKR tidak akan menggunakan alasan kesihatan untuk menggugurkannya kerana ia ibarat "memandang rendah terhadap orang kelainan upaya (OKU)".
"Ini tak betul. Saya tak fikir parti akan menjadikan perkara ini sebagai asas untuk tidak mencalonkan semula ADUN sedia ada," katanya.
Tan menambah, beliau telah membangunkan PKR di Pulau Pinang sejak tahun 2005 lagi ketika parti itu masih lemah dan belum kukuh di Pulau Pinang.
Mansor semalam sekadar menjelaskan bahawa pertemuan yang didakwa dalam blog tersebut hanyalah satu perbincangan dan bukannya mesyuarat strategik parti.
Katanya, tindakan merakamkan perjumpaan berkenaan dan menyiarkannya di laman tersebut dilakukan dengan tujuan jahat bagi "merosakkan jalinan kerjasama dan hubungan baik antara PKR dan DAP."
