Penganalisis politik Kian Ming sertai DAP
Penyelidik politik terkenal Ong Kian Ming hari ini mengumumkan keputusannya menyertai DAP, sekali gus memberikan lonjakan kepada pembangkang menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang.
"Memilih untuk menyertai DAP adalah keputusan yang jelas bagi saya.
"Sudah sampai masanya untuk saya menyertai politik dan meninggalkan sisi tepi dunia akademik dan sebagai penganalisa, membantu membawa perubahan di Malaysia," katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di ibu negara pagi tadi.
Ong seorang cendekiawan lulusan London School of Economics, bekas penerima biasiswa ASEAN dan pemegang ijazah doktor falsafah sains politik dari Duke University, Amerika Syarikat.
Beliau pernah berkhidmat sebagai pengkaji dasar di Institut Kajian Dasar dan Analisa Strategi (INSAP) dan Institut Kajian dan Pembangunan Sosio Ekonomi (SEDAR).
Beliau kini adalah pensyarah di Fakulti Sains Polisi dan Ekonomi, Universiti UCSI dan aktif mendedahkan keraguan dalam senarai daftar pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya menerusi Malaysian Electoral Roll Analysis Project (Merap).
Selain Ong, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut mengumumkan kemasukan seorang cendekiawan wanita ke dalam DAP, Yeo Bee Yin.
Yeo mempunyai sarjana muda Kejuruteraan Kimia dari Cambridge dan bekas sarjana Petronas sewaktu menghabiskan ijazah sarjana muda dalam bidang sama di Universiti Teknologi Petronas.
Menurut Lim, Ong akan bertindak sebagai ahli strategi pilihan raya DAP bagi membantu beliau selaku setiausaha agung DAP.
Yeo yang kini bekerja sebagai pakar rujuk media sosial pula akan membantu kempen media sosial DAP, katanya.

