'Belum sampai masa DAP bincang terima pingat istana'
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menjelaskan bahawa masanya belum tiba untuk parti itu membincangkan soal penerimaan pingat kebesaran dari istana di kalangan ahli-ahli partinya.
Menurutnya, tumpuan DAP sekarang adalah memberikan khidmat terbaik kepada rakyat yang mengundi mereka dalam pilihan raya.
"Kita berjuang dalam politik demi rakyat, bukan kerana gelaran. Itu bukan tujuan kita," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu mengulas cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan Ng Suee Lim yang menggesa DAP mengkaji semula peraturan tidak bertulis yang tidak menggalakkan ahli menerima pingat dan darjah kebesaran istana.
Hujah Ng, DAP wajar menerima anugerah istana untuk menangkis tohmahan yang dilemparkan terhadap DAP sebagai parti yang anti-Melayu.
Menurut Lim, beliau sendiri tidak dapat memberikan kata putus berkenaan perkara itu kerana dikhuatiri memberikan gambaran yang salah kepada umum.
"Kalau saya kata 'ya' (boleh terima), nampak macam saya mahu pingat.
"Kalau saya kata 'jangan' (terima), orang kata saya hina istana," katanya sambil menambah beliau masih selesa dibahasakan sebagai 'saudara' seperti amalan sedia ada DAP.
'Tokong': Apa diperlukan sudah dilakukan
Pada masa sama, beliau tetap akur dan hormat kepada hak Raja-Raja Melayu untuk menganugerahkan pingat dan darjah kebesaran.
"Ini hak mutlak Raja-Raja, kita tak boleh persoalkan. Kita mesti terima perkenan Raja dahulu dalam hal ini.
"Yang penting kita bukan kejar gelaran," katanya.
Lim turut menganggap isu transkrip perbincangan PKR Pulau Pinang yang dibocorkan dan mengandungi butiran pembahagian kerusi dalam pilihan raya umum akan datang ditutup dan tidak dibincangkan lebih lanjut.
"Saya menganggapnya sudah selesai. Semuanya sudah dibincangkan dan apa-apa yang perlu dilakukan, sudah dilakukan," katanya.
Dalam transkrip itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Mansor Othman dilaporkan merujuk Lim sebagai 'angkuh', 'sombong' dan ibarat 'tokong'.
Mansor bagaimana pun menafikan beliau merujuk Lim sebagai 'angkuh' dan "sombong' tetapi menjelaskan perumpamaan 'tokong' yang disebutnya dimaksudkan sebagai pujian dan pengiktirafan kepada Lim.

