Peserta gembira dijemput ke Himpunan Merdeka 55
Tinjauan ringkas Malaysiakini di kalangan pengunjung Himpunan Merdeka 55: Janji Ditepati mendapati rata-rata peserta berkenaan berasa gembira terpilih menghadiri sambutan itu di Bukit Jalil semalam.
Seorang daripadanya Azhar Abd Razak, 28 tahun, seorang kakitangan kerajaan berkata beliau berasa sangat bertuah terpilih bersama-sama rakyat Malaysia lain untuk berada di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Saya rasa sangat bertuah dijemput untuk menghadiri himpunan ini," katanya yang hadir bersama 11 orang lagi kakitangan Agensi Dadah Kebangsaan .
Mengulas tema Hari Merdeka tahun ini, Azhar percaya tema "Janji Ditepati" adalah nilai sejagat yang tidak bersifat politik.
"(Anggapan ia bersifat politik) tak kena. Janji ditepati ini bersifat universal," katanya yang mengakui hadiah-hadiah cabutan bertuah turut menggamit kehadirannya ke sambutan itu.
Seorang lagi pengunjung, Indra Devi Shumugam, 36, pula berkat beliau hadir bersama anggota rombongannya yang datang dengan empat buah bas dari Tampin.
"Saya rasa bangga jadi anak Malaysia dapat sambut Hari Merdeka di Stadium Bukit Jalil," katanya setiausaha Parti Politik Progresif (PPP) bahagian Tampin.
Beliau juga gembira dengan tajaan pengangkutan dari PPP dan percaya sambutan berkenaan unik dan mesra keluarga kerana kanak-kanak turut berpeluang menghadirinya.
"Sebab itu rasa suasana lagi happy. Kerajaan (pula) bekal bas kita datanglah," katanya.
Sementara itu, seorang penggiat sukan, Chin Peng Foo, 55 tahun pula hadir bersama 17 ahli Persatuan Sukan Teow Min dari Seri Kembangan.
"Kami ramai-ramai datang ke sini untuk rai (merdeka). Kami bukan minta untuk dapat cabutan bertuah," katanya ketawa kecil sewaktu ditanya mengenai hadiah cabutan bertuah yang menanti pengunjung.
Beliau turut percaya sambutan itu diadakan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, atau pilihan politik.
"Kita rasa itu bukan parti punya. Kita tak mahu cakap apa bangsa. Kita mahu sambut untuk hari merdeka," katanya.

