Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata PKR sedang merancang kempen untuk mendedahkan penyalahgunaan Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia) oleh institusi kewangan.

Rafizi mendakwa, beliau menemui beberapa kes pelanggaran akta itu oleh institusi kewangan sewaktu meneliti butiran mengenai tuduhan yang dihadapinya di mahkamah.

 "Kita sedang mengumpulkan semua kes ini dan kita akan mulakan kempen umum tidak lama lagi.

"Jadi kita ada dua kes yang berjalan serentak - satu di mahkamah dan pada sama kita akan dedahkan pada orang ramai bagaimana Bafia dalam kebanyakan masa tidak digunakan untuk melindungi orang ramai.

"Kita dapati ramai orang sebenarnya terasa dimangsakan oleh bank-bank yang melanggar akta ini," katanya kepada wartawan di Mahkamah Shah Alam hari ini.

Rafizi hadir ke mahkamah tersebut hari ini untuk memohon bagi menggugurkan pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Shah Alam ekoran siri pendedahan melibatkan National Feedlot Corporation (NFC).

Rafizi pada 30 Ogos lalu melancarkan Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Negara (Now) untuk menyiasat semua dakwaan rasuah, termasuk yang melibatkan Pakatan Rakyat.

Pusat itu dilancarkan selepas Rafizi didakwa di mahkamah kerana mendedahkan akaun bank berkaitan dakwaan salah guna pinjaman RM250 juta dari kerajaan pusat kepada National Feedlot Corporation (NFC).

Bercakap lanjut, Rafizi menyifatkan dakwaan terhadapnya mempunyai rahmat tersendiri kerana menemukannya dengan kumpulan-kumpulan yang melobi menentang panyalahgunaan akta itu.

Dakwanya, kumpulan berkenaan gigih mendedahkan salah guna data peribadi dan sulit pelanggan oleh bank-bank yang sehingga kini masih tidak dibawa ke mahkamah.

"Kempen ini akan jadi menarik kerana walaupun Bafia digunapakai dalam kes NFC, sepanjang penelitian kami, masih ada kes-kes lain yang tidak mendapat perhatian.

"Terdapat ramai orang merasa mereka dimangsakan dan walaupun bank-bank ini melanggar Bafia, pihak berkuasa masih tidak bertindak," katanya.

ADS