Dr M seru Burma iktiraf warga Rohingya
Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Burma mengiktiraf pelarian etnik Rohingya sebagai warganegaranya sebagai sebagai jalan keluar kepada krisis kemanusiaan yang melanda negara itu.
"Penyelesaiannya adalah hak Rohingya untuk kembali dan tinggal di negara yang mereka diami selama bertahun-tahun dan bersama rakan senegara mereka yang ada di sana.
"Seluruh populasi Rohingya perlu diiktiraf sebagai warganegara," kata Mahathir ketika menyampaikan ucaptama di persidangan 'Plights of The Rohingya: Solutions' anjuran Yayasan Keamanan Global Perdana di Kuala Lumpur pagi tadi.
Menurutnya, pelarian berkenaan mempunyai hak untuk diiktiraf sebagai warganegara kerana mereka telah lama tinggal di negara itu.
Menurutnya, pendekatan sama digunapakai di Malaysia yang berbilang kaum tetapi meraikan masyarakat pelbagai kaum dan agama.
"Di Malaysia, ada orang Cina dan India yang bukan penganut agama Islam yang merupakan agama majoriti peribumi Malaysia.
"Mereka bercakap menggunakan bahasa mereka, dan pergi ke sekolah mereka sendiri.
"Tetapi mereka adalah warganegara Malaysia dan mereka mempunyai hak penuh untuk mengambil bahagian dalam kerajaan dan pentadbiran Malaysia," katanya.
Kerajaan Burma melucutkan kewarganegaraan etnik Rohingya menerusi Undang-undang Kewarganegaraan 1982 (1982 Citizenship Law).
Susulan tindakan itu, sebahagian besar etnik Rohingya Myanmar melarikan diri ke negara-negara lain dan sesetengahnya mendapat status pelarian dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Terbaru, berlaku pertembungan di antara komuniti Buddha Rakhine yang didakwa disokong pasukan keselamatan kerajaan dan etnik Rohingya dalam wilayah Rakhine.
Kata Mahathir, kegagalan Burma mengiktiraf pelarian Rohingya
menjadi "kejanggalan", memandangkan ASEAN tidak pernah gagal
mengiktiraf mana-mana etnik yang mendiami negara ahlinya selama
beribu-ribu tahun sebagai warganegara.
Beliau sekali lagi memberi contoh Malaysia yang menurutnya berjaya mengintegrasi masyarakat berbilang kaum sebagai warganegara tanpa perlu mengamalkan proses asimilasi kaum.
"Walaupun saya perlu akui hubungan kaum di Malaysia tidak sempurna, tetapi selama 55 tahun kita hidup dengan senang (antara sesama sendiri) dalam satu negara dan membolehkan negara ini maju serta memberikan kehidupan yang baik buat rakyatnya," katanya.
Mahathir berkata, walaupun curiga dengan pengaruh Pertubuhan Persidangan Islam, beliau percaya badan itu mampu menggesa Amerika Syarikat untuk mengenakan tekanan ke atas Burma dalam perkara ini.
"US boleh memainkan peranan yang besar. Saya tidak pernah gemar dengan peranan yang dimainkan US dalam kes Palestin tetapi sedikit tekanan ke atas US mungkin berkesan sedikit.
"Jadi kita semua perlu mengenakan tekanan ke atas US (untuk bertindak ke atas Burma)," katanya ketika menjawab soalan dalam satu sesi plenari.

