Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siti Hasmah sedih dengan kejadian tragis buang bayi

Isteri bekas perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berkata beliau berasa sedih dengan kejadian tragis melibatkan seorang bayi cukup sifat yang didakwa dibuang daripada tingkat tiga sebuah apartmen semalam.

Katanya, ibu bapa sepatutnya mengingini cahaya mata mereka dan bukannya bertindak membuang bayi berkenaan seperti itu.

"Kita sedihlah apabila bayi yang tidak berdosa dicampakkan begitu sahaja," katanya yang mencadangkan supaya kerajaan menangani kes seperti itu dengan mendidik pelajar sekolah mengenai seks.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan agar pendidikan berkenaan dinamakan sebagai "pendidikan kesihatan mengelak salah faham masyarakat.

"Pendidikan seks sering disalah erti. (Tan Sri) Mohd Khir Johari adalah orang pertama mempromosikan pendidikan seks di sekolah.

"(Tetapi) kita bukan hendak ajar itu sahaja. Ia bukan pendidikan seks, ia sepatutnya dinamakan pendidikan kesihatan," katanya.

Laporan Bernama pada 16 September menyebut, bayi perempuan itu ditemui dengan kesan kecederaan parah di bahagian kepala di Pangsapuri Desa Mentari, Petaling Jaya.

Kesan kecederaan itu dipercayai akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Laporan media hari ini pula menyebut, polis menahan reman seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

ADS