P'raya kampus berlangsung di 15 universiti hari ini
Kehangatan pilihan raya kampus sampai ke kemuncaknya hari ini dengan proses pengundian di 15 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta bermula pagi ini.
Keputusan yang dijangkan diperoleh hujung petang ini bakal menjawab persoalan sama ada Pro-Mahasiswa mampu mengekalkan penguasaan di tiga kampus utama di Lembah Klang.
Atau, apakah Pro-Aspirasi mampu kembali berkuasa, sekali gus mengukuh 'cengkaman' dan prestasi mereka di kampus berkenaan?
Di Universiti Malaya (UM), sebanyak 18 pusat pengundian dibuka pada jam 9 pagi untuk 22,822 mahasiswa Universiti Malaya yang berdaftar bagi memilih anggota Majlis Perwakilan Mahasiswa bagi sesi 2012/2013.
Pusat pengundian tersebut dibuka di semua 12 kolej kediaman, Akademi Pengajian Melayu, Fakulti Alam Bina, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Fakulti Perubatan dan Fakulti Sains.
Sebanyak 43 kerusi dipertandingkan yang merangkumi sembilan kerusi umum dan 34 kerusi fakulti. Sebanyak 17 calon bertanding merebut kerusi umum, dan 53 calon fakulti.
Tinjauan Malaysiakini di pusat pengundi mendapati proses pengundian berjalan tenang dan lancar. Kelihatan juga para mahasiswa sedang menunaikan tanggungjawab membuat pengundian secara elektronik (e-undi).
Setakat jam 10.05 pagi ini, seramai 1,317 atau 5.72 peratus mahasiswa keluar mengundi di seluruh UM.
Peratus pelajar keluar mengundi pada sesi lalu adalah sebanyak 67.11 peratus.
Pusat pengundian akan ditutup jam 5 petang dan keputusan pengundian bakal diketahui seawal jam 6.30 petang.
Sebanyak lebih 15 institut pengajian tinggi awam dan swasta hari ini mengadakan pilihan raya kampus masing-masing termasuk di Universiti Malaya (UM).
UKM batal kuliah pagi
Sementara itu, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kuliah di sebelah pagi dibatalkan bagi memudahkan pelajar membuang undi.
Ketua Pusat Pembuangan Undi Kolej Keris Mas (KKM), Prof Dr Shahidan Radiman berkata, seawal 9 pagi lagi pelajar telah mula membuang undi di kolej kediaman masing-masing serta di Pusanika, UKM.
Shahidan juga berkata, pembatalan kuliah itu juga bertujuan menggalakkan pelajar untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya kampus.
"Dari pagi sehingga sekarang, semua berjalan lancar. Kuliah di waktu pagi memang dibatalkan.
"Kita batalkan memang untuk galakkan pelajar mengundi. Pegawai pilihan raya juga akan buat pengumuman di setiap kolej sebanyak tiga kali untuk ingatkan pelajar supaya keluar mengundi," katanya ketika ditemui Malaysiakini .
Pemilihan pilihan raya kampus UKM tahun ini melibatkan sebanyak 19 kerusi bagi Fakulti manakala sebanyak lima kerusi dipertandingkan bagi kerusi umum.
Bagaimanapun, sebanyak lima kerusi Fakulti telah dimenangi tanpa bertanding iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Pendidikan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Fakulti Farmasi dan Fakulti Perubatan.
Waktu pengundian bermula jam 9 pagi dan tamat pada jam 5 petang ini.
Seterusnya penjumlahan undi bagi keseluruhan akan dibuat di Dewan Gemilang, UKM bermula jam 8 malam.
Selain itu, sehingga jam 1 petang tadi, menurut Shahidan peratusan pelajar yang keluar mengundi ialah sebanyak 60 peratus.
Katanya, peratusan itu semakin meningkat berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 50 peratus sahaja.
"Kali ini kita tengok ada peningkatan. Sasaran kita tahun ini ialah sebanyak 60 peratus pelajar keluar mengundi. Dan setakat ini, sasaran kita tercapai," katanya lagi.

