Guan Eng: Saya belum dengar audio 'tokong'
Lim Guan Eng enggan mengulas rakaman audio yang memetik timbalannya Dr Mansor Othman sebagai menyifatkan ketua menteri Pulau Pinang itu 'sombong' dan 'angkuh'.
"Saya belum dengar itu rakaman dan ini kena dapat kepastian dari Dr Mansor dululah," katanya ketika ditemui di Petaling Jaya pagi tadi.
Rakaman audio itu yang didakwa dibuat pada 19 Mac tahun ini disiarkan dalam slot Buletin Utama di TV3 malam tadi jelas kedengaran perkataan "sombong", "angkuh" dan 'tokong".
Lim juga 'mengunci' kemas mulutnya sewaktu ditanya sama ada beliau akan mendengar rakaman itu untuk memastikan kesahihannya.
"Saya tak ada sebarang komen," kata Guan Eng.
Satu blog kurang dikenali pertama kali menyiarkan transkrip audio mesyuarat lapan orang pemimpin PKR Pulau Pinang itu sekitar Jun lalu.
Malaysiakini kemudian pada 23 Ogos mendedahkan transkrip tersebut, tetapi Mansor menafikan beliau menyifatkan Lim sebagai angkuh dan sombong.
Beliau turut dilapor menafikan ia adalah mesyuarat PKR Pulau Pinang sebaliknya menjelaskan transkrip itu adalah rakaman perbualan sahaja.
Mansor bagaimanapun mengaku mengibaratkan Guan Eng seperti 'tokong' yang dipuja rakyat Pulau Pinang seperti didakwa dalam transkrip itu.
'Bentangkan laporan audit segera'
Mengulas perkara lain, Guan Eng memaklumkan yang kerajaan Pulau Pinang telah menerima laporan audit tahunan negeri dari Jabatan Audit Negara dan bercadang membentangkannya untuk diteliti orang ramai secepat mungkin.
Namun, beliau akan membawa perkara itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bagi mendapatkan pandangannya kerana laporan audit negara akan hanya dibentangkan kepada orang ramai dalam masa dua minggu selepas belanjawan 2013 diumumkan.
Menurut Lim, konvensyen Parlimen menetapkan laporan audit negeri kebiasaannya dibentangkan hanya selepas laporan audit negara dibentangkan
.
"Saya tak faham kenapa ia perlu dilambat-lambatkan. Keadilan yang ditangguh-tangguhkan adalah keadilan yang dinafikan.
"Begitu juga ketelusan, ketelusan yang ditangguh-tangguhkan adalah ketelusan yang dinafikan. Kita tiada apa-apa untuk disembunyikan," katanya.
Ahli akademik: Jangan terbit jurnal saja
Terdahulu, Guan Eng melancarkan buku Why Listen to the Vice Chancellor? University as a Conscience of Society tulisan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mohamad Tajudin Mohd Rasdi.
"Buku ini untuk mengingatkan ahli akademik bahawa tanggungjawab utama kita bukan setakat terbit jurnal.
"Kita ini ulama dalam bidang masing-masing dan tugas utama kita adalah membangunkan masyarakat," kata Tajudin yang telah dua tahun menjadi ahli DAP.

