Kerajaan tidak bercadang memansuhkan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 kerana ia tidak bercanggah dengan prinsip undang-undang sejagat yang menetapkan seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata akta itu mendorong semua pihak mengamalkan kebebasan bersuara dan memelihara harta benda masing-masing dengan lebih beretika dan bertanggungjawab.

Menurutnya, kritikan terhadap akta itu timbul kerana kurang kefahaman tentang prinsip asas anggapan fakta ( presumption of fact ) dan anggapan kebersalahan ( presumption of gulit ).

"Anggapan fakta ini bukanlah bermaksud pendakwa akan menggunakannya sewenang-wenangnya tetapi ia berdasarkan prinsip pembuktian kewujudan fakta-fakta tertentu sebelum anggapan fakta itu terpakai bagi seseorang yang dituduh di mahkamah.

"Apabila fakta itu dibuktikan wujud, mahkamah yang berperanan sebagai safeguard perlu berpuas hati dengan kewujudan fakta demikian sebelum memindahkan beban pembuktian kepada orang yang dituduh," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal

Singh.

Menurutnya, prinsip anggapan fakta itu tidak asing kerana ia turut digunakan dalam Seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, Seksyen

409B Kanun Keseksaan dan Seksyen 19 Akta Perhimpunan Aman 2012.

Seksyen 114A Akta Keterangan diluluskan di Dewan Rakyat pada 18 April 2012 dan diwartakan serta mula berkuatkuasa mulai 31 Julai 2012.

Ia mencetuskan perbincangan di kalangan pengguna laman sosial yang berasa mereka akan dipertanggungjawabkan dengan tulisan di laman web atau sosial mereka walaupun ia ditulis pihak lain.

Pakatan Rakyat menolak pelaksanaan akta itu sementara beberapa ahli politik BN mencadangkan ia dikaji semula.